MENUJU UTARA, BULAN TERBIT DARI RESOLVE RECORD

 


Setelah hampir tiga tahun, saya kembali ke kampung halaman, Kedah meskipun tidak sempat melawat kedua-dua orang tua di Pendang. Setidaknya, fikir saya, keberadaan di Sungai Petani selama tiga hari dua malam membuatkan kami berasa lebih dekat; merasa bahang yang sama.

Perjalanan bersama rakan sekerja di media automotif hampir lima ke enam jam itu biasa saja, dan Sungai Petani bukanlah apa-apa tanpa langitnya, angin nyaman dan cuaca panasnya.

Selain makanan yang kami lahap, gelak tawa mengisi ruang kosong waktu, kami membiarkan hari terus berganti, hinggalah bulan pun terbit di malam terakhir di Sungai Petani.

“Malam kita pi Resolve Record, di Space08000,” kata bang Man.

Salah seorang staf di tempat kerja, dikenali bang Man, memberitahu bahawa jika ada rilisan album perlu saya ulas. Katanya, ada band dari sana baru saja menerbitkan album terbaru. Saya mengiyakan saja sedangkan masih berlambak lagu dan album yang masih belum ada kesempatan untuk saya sempat ulas.

Bercakap tentang ranah muzik Sungai Petani, ada satu hal boleh membuatkan saya ketawa kecil. Ingatan saya membawa kepada suatu malam tahun lalu di Damansara, berbual dengan seorang rakan asal Sungai Petani.

Dia memainkan beberapa lagu dari band berlainan asal sana, hampir kesemuanya mengeluarkan bunyi hampir sama – Arctic Monkeys wannabe, bak kata rakan jurnalis, Zim Ahmadi.


Dipendekkan cerita, malam itu saya berjumpa dengan pemilik Resolve Record, Amert, yang juga bergenjrang-genjreng bersama band Ska Punk, Stick No Bill.

Bercakap tentang Ska Punk, ia muncul pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, beberapa band mula menggabungkan elemen-elemen Ska dan Punk Rock. Ini termasuklah penggunaan brass section (seperti trompet dan trombone) dalam muzik punk yang biasanya lebih berat dan laju.

Antara kugiran-kugiran Ska Punk yang sering kita dengar adalah seperti Operation Ivy, Less Than Jake dan Reel Big Fish.

Di Malaysia, Stick No Bills sudah tentu pernah menjamah telinga, atau paling tidak, sesekali orang sekeliling kita pernah menyebut nama kugiran ini.

Penuh tenaga, Stick No Bills ada manisan 90-an dan 2000-an, ritma Ska yang santai digabungkan dengan tempo cepat dari Punk Rock, bouncy dan hentakan dram pantas - berterusan.

“Resolve Record adalah tempat budak-budak scene berkumpul, sangat dialu-alukan datang,” kata Amert.

Mata saya masih lagi tertumpu pada rak kaset, ada beberapa kaset harus dibeli. Ia adalah perkara wajib jika saya ke mana-mana tempat, dengan sedikit masa, record store atau kedai buku, sebolehnya, ada sesuatu perlu dibawa pulang.

“Tapi, ada lebih baiknya, orang-orang yang mengenali scene, menghargai muzik masuk ke sini, lebih menarik kalau nak dibandingkan dengan orang yang sekadar nak ambil gambar atau sekadar mengikut trend,” tutur Amert.

Saya membelek-belek kaset Denny Frust, antara seniman kegemaran – bahkan lagu-lagunya pernah saya berikan kepada isteri, di masa awal perkenalan kami. Seingat saya, Denny Frust diperkenalkan oleh kawan-kawan dari band Ska asal Samarahan/Serian, Drasska, yang kini namanya menitip di bibir-bibir orang Malaya.

“Muka hang…tak nampak macam orang yang minat automotif,” ucap Amert, membuatkan saya tergelak.

Ia situasi yang janggal. Saya boleh menjawab dengan jujur tetapi keadaan tidak memungkinkan kerana rakan sekerja dan bos berada di ruang yang sama.

“Saya pernah jumpa barista tak minum kopi atau matcha, bang. Minum air kosong,” balas saya seraya ketawa.


MENUJU UTARA

Dalam situasi janggal itu, Amert kemudian menyerahkan CD album kugiran Ska Punk asal Indonesia, atau lebih tepat, berasal dari Kudus – tempat di mana penghasilan kretek terbesar di Jawa Tengah. Album Menuju Utara ‘Jangan Menyerah Dulu’ dikemaskan dengan kulit album sangat memikat mata – empat figura, salah satunya mengenakan jersi bola sepak.

Saya tidak pernah mendengar Menuju Utara sebelum ini. Dari album ini, ia memuatkan enam buah lagu, antaranya ‘Proud This Family’, ‘From Match to Gigs’, ‘Merayakan Perjalanan’, ‘Ambisi’, Jangan Menyerah Dulu’ dan ‘Romi is a Hooligan’.

Ini sangat menarik, menurut saya, sebagai peminat bola sepak. Di Malaysia, ada beberapa karya tentang bola sepak – tentunya pengkarya yang menumpahkan rasa cinta mereka kepada Selangor FC, misalnya, ada 1936 Bois, 1936 Kids, COX RMX, MEO, Elpijai dan Des Panik!

Punk dan bola sepak sebenarnya bukan asing. Sebagai contoh umum adalah FC United of Manchester yang digelar sebagai ‘Punk of Football’. Ia memberi gambaran yang berbeza kepada kelab profesional – dibela-bela hingga tekak terkeluar oleh rakyat Malaysia iaitu Manchester United.

Menurut Anarchist Football Manual, sejarah kelab bola sepak alternatif ini adalah untuk menolak bola sepak moden yang dikuasai oleh golongan kelas atasan demi kepentingan kapital. Pada tahun 1906, sebuah kelab bolasepak bernama Argentinos Juniors ditubuhkan oleh para anarkis disana untuk menghormati para pejuang Haymarket anarchists dan Chacarita Juniors.

Tahun selepasnya, di Croatia, lebih tepat, juga menubuhkan sebuah kelab bolasepak RNK Split of Croatia yang didirikan oleh golongan kelas pekerja miskin. Kelab tersebut juga menyebarkan idea-idea anarkisme kepada pekerja-pekerja lain Croatia.

Kelab bolasepak didirikan atas idea yang sama adalah St.Pauli di Jerman, pernah disertai oleh Volker Ippig – terkenal dengan gelaran ‘the punk in goal’ dan pernah meninggalkan pasukan selama satu musim untuk membantu golongan miskin di Nicaragua.

Cerita lebih menarik datangnya dari Mexico, Subcomandante Marcos, salah seorang dari aktivis Zapatista mengundang kelab dari England, Cowboys Easton dan Cowgirls untuk menyertai pertandingan ‘Piala Dunia’ yang diselenggarakan oleh mereka sendiri di Chiapas. Dikatakan, pertandingan tersebut diadakan pada tahun 1998.

Subcomandante Marcos juga seorang aktivis, yang menulis lebih dari 200 esei, cerita serta 21 jilid buku membuahkan 33 edisi. Penulisan beliau dibaca oleh beragam orang, dari golongan intelektual, buruh-buruh hinggalah golongan miskin di sana.

Penulisan beliau tidak hanya terarah kepada pesan-pesan anti neo-liberalisme tetapi beliau juga menyediakan kaedah-kaedah ilmiah untuk diadaptasi oleh masyarakat.

Hal tersebut membawa kepada kisah Massimo Moratti, presiden kelab Inter Milan di Serie A, menerima pelawaan, tantangan dari Marcos agar Nerrazzurri menentang kesebelasan EZLN yang terdiri daripada para tentera Zapatista pada tahun 2005.

Sebagai info, Mexico adalah salah sebuah dari 14 negara yang berkembang untuk dijadikan Inter Campus, sebuah sekolah untuk pemain bolasepak selain membantu, membuat kerja amal dengan menyalurkan bantuan kepada anak-anak yang kurang berkemampuan.

“We believe in a better world, in an unglobalised world, enriched by the cultural differences and customs of all the people. This is why we want to support you in this struggle to maintain your roots and fight for your ideals.” Tulis Javier Zanetti, kapten Inter Milan pada ketika itu yang turut dikenali sebagai aktivis sosial.

Namun, perlawanan itu tidak dijalankan kerana beberapa keraguan, salah satunya adalah kerana persetujuan Moratti ketika itu adalah untuk menguasai minyak di Mexico.


Sementara, di negara jiran, Menuju Utara membawa semangat serupa melalui karya-karya mereka. Muzik dari Azy (vokalis), Panjul (bass), Fatah (gitar) dan sang pemain dram, Guntur adalah bahasa cinta kepada Persatuan Sepak Bola Indonesia Kudus (atau disebut juga Persiku Kudus/PERSIKU).

“PERSIKU adalah pasukan kebanggaan buat kita dan buat semua warga kota kudus, dari saya kecil sudah menonton, mendukung PERSIKU sampai saat ini. Secinta apa? mungkin ini cinta kedua saya setelah yang pertama, cinta anak dan isteri,” kata Guntur.

Berbalik semula pada sejarah penubuhan Menuju Utara, ia menggambarkan sebuah tempat iaitu gunung Muria yang berada di utara kota.

Cerita Guntur, mereka biasanya akan pergi ke gunung tersebut untuk sekadar meluangkan masa dan minum kopi.

“Jadi dulu kita sering mengucapkan “Ayo kita menuju utara!”, jika kita ingin refreshing ke gunung,” jelas Guntur.

“Semua lagu dalam Menuju Utara lebih kepada pengalaman peribadi, ada juga beberapa lagu yang saya ambil dari cerita teman-teman.

“lagu ‘Teror di dalam stadion’ misalnya, bercerita tentang ketika pasukan kita bertanding di kandang (home), kita harus full teror untuk pasukan lawan dan juga penyokongnya, ketika lawan mereka lemah, kita insyaallah akan menang,” balasnya.

“Lagu tersebut berbicara tentang mentaliti, apa yang harus dilakukan oleh penyokong ketika kita mendukung di stadium sendiri.”


Selama lapan tahun berkarya atas nama Menuju Utara, mereka telah pun menerbitkan 18 buah lagu dan tiga lagu telah diterbitkan oleh label rakaman asal Amerika Syarikat, Red.

Ketertarikan label rakaman tersebut tak lain, tak bukan adalah kerana keunikan budaya punk di Indonesia dan konsep muzik bersalut budaya bola sepak.

“Kami membuat split album dengan band punk dari USA, kami juga dijemput untuk membuat persembahan, tetapi kami tidak dapat pergi kerana masalah kewangan,” kata Guntur lagi.

Menurut Guntur, lagu yang berjudul ‘Were Youth Punk’ and ‘Skin Head’ sesuai untuk didengari dan menyentuh hati peminat muzik bawah tanah di Amerika.

200 keluaran kaset fizikal telah dijual di luar sana, begitu juga 100 CD yang dijual di Indonesia turut habis dijual.

Mengenai album ‘Jangan Menyerah Dulu’, Guntur menjelaskan bahawa ia disiapkan penghujung 2022.

“Kita mengerjakan sangat perlahan, kerana dalam satu band kita semua mempunyai pekerjaan diluar daripada muzik dan juga sudah berkeluarga. Kita harus bagi waktu, antara band, keluarga serta pekerjaan,” jelasnya.

“Kita ada rancangan untuk membikin ibadah tour ke malaysia, kerana CD kita juga dirilis oleh resolve records, tapi belum tahu bila, kerana di malaysia kita punya banyak kawan dekat.”

 


Comments