JESSICA TANTO: NURIA, EKSPRESI EMOSI DAN RUANG KETERBATASAN



Teks/Foto: Zhafirin Zulkifli/Jessica Tanto

"Ketika saya bergerak saya berempati terhadap muzik seperti muzik itu adalah diri saya sendiri. Saya merasakan berbagai macam emosi sesuai dengan memori atau imej yang muncul di kepala saya ketika mendengarkan lagu itu."

Jessica Tanto merespon kepada lagu Nuria yang menjadi eksperimen beliau melalui gerak tubuh badan. Artis seni persembahan asal Jakarta ini  bersetuju untuk menjadikan lagu Nuria sebagai ekspresi dengan pembawaan genre yang berbeza. "Saya pertama mengenal Mohd Jayzuan dari GUDSKUL Ekosistem dan kemudiannya, Mohd Jayzuan menawarkan saya untuk merespon lagunya. Saya setuju kerana kebetulan saya sedang ingin mengolah ekspresi tubuh saya dan lagu itu memberi peluang kepada saya untuk bereksperimen menggunakan genre muzik yang berbeza dari yang biasanya saya gunakan. Saya juga tertarik dengan lagu Nuria kerana dapat mengaitkannya dengan kejadian di hidup saya sendiri." Kata Jessica Tanto. 

"Ketika saya bergerak saya berempati terhadap muzik seperti muzik itu adalah diri saya sendiri. Saya merasakan berbagai macam emosi sesuai dengan memori atau imej yang muncul di kepala saya ketika mendengarkan lagu itu. Gerakan tubuh yang dilihat adalah kombinasi dari terjemahan emosi saya dan gerakan spontan merespon lagu."




Selain mengekspresikan diri melalui tari gerak tubuh, Jessica Tanto juga menjadikan seni fotografi dan seni rupa sebagai medium yang lain untuk mencapai tujuan seni beliau. "Setiap kali saya membuat karya ada tujuan yang berbeza, atau terkadang tak ada tujuan, dan tujuan itulah yang membantu saya memilih cara penyampaian."

"Sebenarnya, sebelum situasi pandemik ini, saya jarang menggunakan medium tari dalam seni saya. Namun, kerana keterbatasan seperti tidak boleh ke toko alat seni dan mengakses alat-alat seni di kampus, saya menggunakan medium yang gratis dan saya selalu miliki, tubuh. Isolasi dari ruang umum juga membuat saya lebih sedar dan dekat dengan ruang di-dalam tubuh saya sendiri." Respon beliau mengenai dorongan beliau mengeksplorasi tarian sebagai medium seni.

"Biasanya, saya tidak menyampaikan emosi atau pesan kepada penikmat, namun menjadikan seni saya sebagai stimulus untuk menimbulkan emosi berbeza di setiap orang. Saya ingin karya saya menimbulkan, bukan menyampaikan sesuatu."

Namun, di projek Nuria, saya menyampaikan emosi saya kerana tujuan di kolaborasi itu berbeza dari kebanyakan tujuan projek-projek peribadi saya." Jelas Jessica Tanto yang turut merespon kepada persoalan teknologi, media sosial sebagai medium alternatif dan mudah menumpahkan perasaan atau emosi. "Saya setuju bahawa media sosial memudahkan masyarakat untuk menumpahkan emosi. Namun, menumpahkan emosi dalam media sosial berbeza dengan menumpahkan emosi di kehidupan nyata. Perbezaan yang paling penting untuk saya adalah ruang dialog."



Tambah Jessica Tanto, "Walaupun media sosial mempunyai tapisan ‘comment’, orang-orang cenderung lebih hati-hati dalam mengekspresikan emosi mereka terhadap emosi saya. Mungkin kerana orang-orang yang tidak terlibat dalam dialog kita pun dapat melihat komen mereka. Kerana ini, saya merasa dialog yang dapat terbentuk melalui media sosial lebih terbatas berbanding kehidupan nyata."

Keterbatasan ini bertentangan dengan tujuan beberapa orang ketika menumpahkan emosi, iaitu, untuk mendengarkan pendapat orang lain atau memulai dialog."

Eksperimen kerja-seni yang diolah oleh Jessica Tanto, turut menimbulkan kepada persoalan disebalik idea pameran solo beliau 'Look at my Paintings' sebuah pameran lukisan yang dibuat dalam nuansa gelap total. "Saya berharap pameran itu dapat mendorong pengunjungnya untuk bereksplorasi menggunakan berbagai pancaindra mereka untuk menikmati seni." 

Lukisan-lukisan yang saya buat mempunyai berbagai macam tekstur dan bau. Respon dari pengunjung sangat menarik. Kebanyakkan dari mereka mencari sumber cahaya dan menyorotkannya ke lukisan-lukisan. Fenomena ini menunjukan bahawa penikmat seni masih sangat bergantung pada indra penglihatan ketika menikmati karya seni di pameran."

Sebelum itu, pada tahun 2018, Jessica Tanto pernah berpameran di RURU Gallery Gudang Sarinah bersama seorang lagi seniman, Andrea yang turut terlibat dalam pameran 'Outside - Inside' yang menjadi sebahagian dalam program residensi tersebut.

"Hampir semua pameran seni yang saya pernah kunjungi bergantung pada indra penglihatan. Kita tidak boleh meraba, mencium, dan apa lagi mencicipi karya-karya seni yang dipamerkan. Mengapa karya seni sangat bergantung kepada satu indra sedangkan manusia memiliki lima indra?"  Akhiri Jessica Tanto.






Comments