QURFUSHA DATANG BAGI SALAM DI HARI YANG BIASA-BIASA SAJA

 


Foto:  Mohd Jayzuan, Nia Atasha, Kamal Sabran, aimee ahmad
Teks: Zhafirin Zulkifli


Beginilah hidup, burung berkicau, matahari akan terbenam, angin terus bertiup, dan Mohd Jayzuan masih berkarya, menjelajah daerah tak bernama.

Mengenai Mohd Jayzuan, ada banyak boleh diperkatakan, cukup saja anda tahu Free Love. Bloodymary. Love-fi. Pop n’ Roll. Filokalis. Ipoh. Projek Rabak. Solat lima waktu.

Ketika hidup sedang biasa-biasa saja, Joni Mustaf datang menyergah, membuatkan hari yang biasa tadi, sekarang hadir dengan keresahan. Manakan tidak, selepas lapan tahun dirakam, akhirnya umum kini dapat mengucup mesra ‘Qurfusha’.

Joni Mustaf adalah alter-ego seniman pelbagai disiplin; Mohd Jayzuan. Joni lebih fokus ke liga eksperimental, avant-garde, seni-bunyi, seni-performans dan sering berlegar-legar di scene seni kontemporari.


Terbitan yang siap sepenuhnya pada November 2016 ini melibatkan Mohd Jayzuan, maestro avant-garde; Kamal Sabran dan model-pelakon; Nia ‘Sleepyllama’ Atasha.

Pada Disember 2019, rakaman ini diterbitkan di Indonesia oleh ruru records sebagai satu projek seni dikepalai oleh Indra Ameng; pengurus White Shoes and the Couples Company / kurator kolektif seni kontemporari berpengaruh, ruangrupa.

Karya dipanggil, ‘Sorry, Poor Connection’ dalam bentuk sebuah split album dan fanzine bersama legenda lo-fi Jakarta; Harlan Boer dicetak hanya sebanyak 100 unit sebagai collector’s item.

Diterbit, dirakam, diadun awal dan digilap akhir oleh Kamal, lagu-lagu dalam ‘Qurfusha’ dibikin Jayzuan serta dikerjakan bersama Kamal.

Semua lirik juga adalah ‘air tangan’ Jayzuan, sementara Nia yang pertama kalinya terlibat dengan rakaman muzik menghadiahkan suaranya.


‘Qurfusha’ mempunyai tujuh buah lagu yang seakan ‘bercakap-cakap’ hal-hal biasa ditemukan dalam kehidupan seharian. Bezanya, Jayzuan ada jurus sihir untuk membuatkan kita mendengar kesemua lagu dalam rilisan ini.

Jika Jayzuan ada sihir, Nia pula terpaksa menanggalkan baju glamournya, berubah, mengalir seperti air, menghanyutkan kita dengan suara-suara indahnya. Setiap kali menulis nama Nia, saya teringatkan lagu Pidi Baiq. Bayangkan dunia tanpa Nia. Lucu.

Ketika mendengar pertama kali ‘Qurfusha’, ia mengingatkan kepada Stan Getz - The Girl From Ipanema. Perbandingan ini boleh jadi keterlaluan kerana saya yakin benar Jayzuan makan sambal belacan.

‘Qurfusha’ juga lebih beraroma, barangkali mendapat sentuhan Kamal Sabran dan ditambah pula, Jayzuan, si ‘hopeless romantic’ ini, menawarkan sisi lain romantik-jiwang-karatz. Ya, anda boleh saja bercakap tentang ‘Filokalis’, secara peribadi, ‘Qurfusha’ ada semangat lain; penuh dengan merayu-rayu.

Kalau anda minat untuk bermain teka-teki, ‘Qurfusha’ hadir dalam bentuk nostalgia apabila bait-bait lirik dari setiap lagu dicantumkan.


Run with me from Ipoh to Sydney/Jangan lupa kita pernah bersama/Kita menari lupakan sepi/lampu suram, tengah malam, mabuk puisi/You love my scars like I love yours/Wajahmu jelita disimbah cahaya/Bibirmu yang merah hangat menyala  

Walaupun ‘Qurfusha’ ini seakan menjanjikan, sudah tentu ada hal tidak menyenangkan apabila dalam lirik terlalu banyak ‘ianya’ – entah-entah kami mengimani mazhab berbeza meskipun Jay rajin solat, saya pula selalu berdoa walaupun bangun pukul 3 petang, setahu saya, ‘ianya’ adalah sebuah kesalahan.

Untuk bunyi, secara peribadi, ‘Qurfusha’ tidak gagal menuang isi kepala Jayzuan, bahkan, karya ini sangat umum – boleh dijamah oleh sesiapa saja. Atau boleh saja jadi penanda aras bahawa otai-tak-mati-idea-kau-omude-masih-tiru-bunyi-coldplay.

Sekiranya anda masih belum terbuka hati mendengar ‘Qurfusha’, jangan bimbang, biarkan gelisah membelenggu, setelah itu mainkan saja ‘Qurfusha’ di platform digital pilihan anda.

Sebelum terlupa, untuk versi fizikal, ‘Qurfusha’ akan dikeluarkan dalam bentuk kaset oleh sebuah label Indonesia, Parttime Rekords manakala CD bakal diterbitkan oleh Freak Music, sebuah label dari Tampin.


Comments