‘HALIMUNAN ABAD KE-21' - EVOLUSI BUNYI DAN NARATIF MONOLOQUE


monoloQue akhirnya melepaskan lagu yang sekian lama diperam berjudul "Halimunan Abad ke 21," single terkini yang dihasilkan dengan paduan bunyi dan naratif elemen muzik tersendiri. 

Lagu ini sebenarnya telah mula dihasilkan ketika awal penubuhan kumpulan monoloQue , ibarat masih setahun jagung, semasa zaman "Kugiros" (Kugiran Gitar Rosak) dahulu dan menurutnya,  loQue masih tercari-cari kiblat serta hala tuju rempah ratus muzik monoloQue. 

Lagu ini dipena pada tahun 2010, ketika itu, loQue baru sahaja kembali bertapak di tanah air, dan mencari sayap kanan juga merangkap elemen “bendasing” atau segar untuk dicambahkan kedalam formula “kugiros” monoloQue ketika itu. 

Jadi, disaat loQue menguji bakat Ijoo “Gagak Hitam” dengan lagu “Jika Aku Seorang Robot” dan “Cinta”, ternyata Ijoo telah membawa lagu-lagu itu ke tempat yang baru.

"Halimunan Abad ke-21" ini muncul sebagai salah satu kerjasama kolaboratif pertama menandakan perubahan dalam satu penjelajahan identiti mereka. Pada waktu tersebut, loQue nampak banyak elemen gaya muzik barat dan luar seperti Indonesia yang sedang mendominasi industri seni negara.



Kemudian, loQue nekad untuk pulang daripada New York, dengan satu misi dan visi untuk menghidupkan semula jati diri muzik Malaysia dan merelevankan semula muzik nusantara. 

Bermula dengan menjahit bunyi-bunyian nusantara dengan elemen rock, dan pop kontemporari, kemudian disalut dengan motif-motif moden serta tradisional dan dimasukkan semua sekali kedalam rempah ratus ramuan monoloQue. 

Dengan lirik yang sepenuhnya dalam bahasa Kebangsaan. loQue telah menghasilkan lagu-lagu dengan konsep cerita "Hutan Batu Konkrit" yang menceritakan tentang kisah masyarakat Malaysia abad ke-21 di kota raya batu.

Antaranya, lagu-lagu seperti "Batu Belah Batu Konkrit" dan "Gurindam Hutan Batu.". Namun lagu pertama menggunakan konsep “hutan batu” ini, adalah lagu “Halimunan Abad Ke-21” ini.

“Ketika itu, saya tengah gila “pentatonic scale”, sebuah skala yang selalu digunakan dalam lagu-lagu rakyat di Asia, dari situlah motif-motif dalam lagu Halimunan Abad Ke-21 terhasil,” kata loQue. 


“Ketika itu juga, saya minta Ijoo “gagak hitam” untuk solo gitar dengan mengelak not-not “major scale”, hanya menggunakan “pentatonic scale”, maka terlahirlah solo ala-ala gitar sape di “outro” lagu Halimunan Abad Ke-21 ini. Maka dari itu, lengkaplah pencarian bunyi monoloQue ketika itu,” tambah beliau.

Secara lirik, "Halimunan" menandakan perubahan signifikan dalam gaya penulisan loQue, mewakili era pasca-Berklee namun masih membawa elemen-elemen lirik awal MonoloQue (era MySpace). Tempoh ini bertepatan dengan penggunaan Myspace ketika itu. 

Di Myspace, loQue dikenali dengan penghasilan trek-trek lagu seperti "Jika Aku Seorang Robot," "Penghormatan Terakhir," dan "Langgar Lari." "Halimunan Abad Ke-21" dilihat sebagai evolusi loQue berhijrah ke satu gaya penulisan yang lebih matang dan berbeza.

Kembalinya loQue ke Malaysia, loQue juga mula sedar tentang kekurangan lagu-lagu berbahasa Malaysia yang membawakan konsep "Hutan Batu" atau tema futuristik. 

Kesedaran ini telah mendorong loQue untuk lebih rancak dan lebih berseronok untuk bereksperimentasi dengan gaya penulisan lirik sebegitu. Kesimpulannya, "Halimunan Abad Ke-21" adalah sebuah cerita yang menggambarkan hutan batu konkrit sebagai cerminan peralihan masyarakat Malaysia ke dalam era globalisasi, modenisasi, dan kapitalisme dan secara sinis, cerita masyarakat melayu yang tersepit ditengah-tengah. 

“Lagu ni ibarat “Malay Dilemma” tapi versi bunyi,” ujar loQue berseloroh. 

Di era tersebut, loQue juga telah cuba berusaha untuk memperkenalkan falsafah elemen Melayu ke dalam beberapa karya penulisannya. 

Dengan dikelilingi oleh bangunan-bangunan tinggi dan pencakar langit di tengah kota batu tanpa cakrawala yang terlihat, landskap bandar itu melambangkan pemisahan cara hidup atau gaya hidup dari alam dengan cara hidup tradisional di luar bandar atau kampung. 

Akhirnya, konsep "Hutan Batu" ini menjadi motif berulang “leitmotif” dalam karya loQue, terutamanya di era awal monoloQue, contohnya dalam album Jejak Tanah.

Album Jejak Tanah sudahpun melebihi sedekad, samalah dengan nasib lagu Halimunan Abad ke-21 ini. Ketika itu, loQue mempunyai impian untuk menerbitkan sebuah “Suite” yang mempunyai 3 album seperti trilogi yang diberi nama Hikayat Halimunan Abad Ke-21. 

Namun, rancangannya tergendala, kerana diperam begitu lama (hampir sedekad), lagu Halimunan Abad Ke-21 ini mempunyai pelbagai versi, antara yang akan dilepaskan bersama versi 2024 ini, adalah Halimunan Abad Ke-21 versi Jejak Tanah yang telah dikeluarkan daripada senarai lagu album Jejak Tanah versi 2012.

Halimunan Abad Ke-21 berkisarkan perasaan cara hidup rakyat moden (kita semua) di era ini, di mana seseorang individu itu pasti boleh merasa kesunyian dan “kegelapan” walaupun sedang berlumba di tengah khalayak orang ramai. 

Tajuk "Halimunan Abad Ke-21" itu juga sendiri digunapakai bagi menggambarkan cerita kita semua seperti sebuah hikayat.

Halimunan Abad Ke-21 kini boleh didengarkan  di gudang-gudang digital pilihan anda.

Comments