Bermula dalam bidang nasyid di era persekolahan, Saifuddin
Razali atau S. Razali baru-baru ini membuatkan ramai orang-orang dalam ranah
alternatif panas bontot ketika EP ‘Kembang Mas’ muncul di pelbagai platform
strim.
S. Razali muncul ketika ramai di antara kawan-kawan disergah
nostalgia Sang Rawi, begitu juga saya, mengulang dengar album kugiran dari
Kuching itu dan sesekali menonton semula video persembahan Lorjhu’ serta
Sindikat Sisa Semalam.
Dalam fasa nasyid, S. Razali sempat mencari ilmu seberapa
banyak yang boleh, dari melatih percussion, voice partition, mencipta lagu dan
hanya belajar bermain piano ketika di usia 17 tahun. Sebaik tamat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), pemuda kelahiran 2003 ini mulai mengangkat gitar dan
kemudiannya aktif bersama kugiran Pop-Alternatif, CISCO sebagai keyboard sessionist.
“Journey S. Razali bermula bulan Ogos tahun 2023. Waktu itu rujukan
sangat jauh berbanding muzik dihasilkan dalam ‘Kembang Mas’,” kata S. Razali.
“Ketika itu saya banyak dengar muzik budaya dari Jepun, Kemboja,
Thailand, Vietnam dan Indonesia, kemudian saya simpulkan semua muzik itu dalam
S. Razali. Bagi saya, campuran tradisi dengan moden, mereka sangat bijak untuk
melaksanakan muzik tradisi dengan rasa bangga leluhur. Saya berharap dapat
lestarikan benda yang sama.”
Ceritanya lagi, proses EP ‘Kembang Mas’ tiada apa yang Istimewa. Menurutnya, lagu-lagu dalam EP ini adalah bahasa hati yang dijadikan muzik dan ia disiapkan dalam lapan bulan sahaja serta dikerjakan seorang diri, dari komposisi hingga ke mixing.
“Saya dalam fasa hidup yang runsing. Boleh dikatakan, saya
belajar faham manusia, masyarakat, budaya, akar masalah dalam negara kita.
Asalnya, EP ini dibuat khas untuk lepas rindu kepada kampung saya, Chroy Metrey,
di Kemboja,” jelasnya.
“Saya lahir di Ipoh, Perak sementara Kemboja pula adalah belah
mak saya, memang setiap tahun balik ke sana. Kalau nak diceritakan tentang
kampung, Chroy Metrey ini perkampungan orang Champa, dalam negeri Kandal, 40
minit dari Phnom Penh.
“Lagu Chroy Metrey menceritakan tentang bagaimana mereka ini
mengamalkan Islam tanpa menghapuskan budaya tempatan sama ada dari segi
pemakaian, nyanyian, bahasa, architecture, segalanya bernuansa tempatan.”
Tambahnya lagi, “Ini berbeza sekali di sini, agama disamakan
dengan budaya, selagi ia bercanggah dengan agama, kita sanggup mematikan identiti
bangsa-budaya.”
Jika diteliti dengan cermat, lagu-lagu dalam EP ‘Kembang Mas’ tidak lari dari pemberontakan. Ini jelas dalam lagu ‘Ulangan’.
Seperti dinyatakan di laman Bandcamp milik S. Razali, ‘Ulangan’
adalah reaksi ibu bapa terhadap rutin hidupnya yang berulang-ulang kerana
kelihatan lebih ‘chill’ berbanding masa muda mereka yang lebih produktif.
“Disebabkan saya dibesarkan di Ipoh, saya sudah terbiasa
dengan cara hidup laid back, tambahan kampung saya pula di Kemboja, lagilah
laid back berbanding Ipoh. Selalunya, laid back atau bersaja-saja memang dianggap
negatif. Tak salah, kalau ikutkan apa-apa pemahaman kita tak semestinya bagus
bagi orang lain. Sebab itu juga, perlu wujudnya keseimbangan, kita boleh hidup
tenang dan terus berinovasi.
“Kalau rutin harian semuanya sibuk belaka atau fast paced
tapi tak ke mana apa gunanya semua tenaga itu. Boleh jadi juga, fast paced
boleh menghasilkan masyarakat yang tidak sihat dan one-sided. Dari sana, kecelaruan
identiti mungkin boleh terjadi,” ujarnya.
S. Razali tidak hanya mempamerkan kemampuannya melahirkan
melodi yang agresif, menyuntik ‘nyawa’ alternatif dalam lagu-lagunya kemudian membuatkan
kita tenggelam.
Jelas, S. Razali turut bersikap sinis, terutama dalam lagu ‘Tuankanku’,
lagu terakhir yang disiapkan untuk EP ‘Kembang Mas’.
“Secara general, ‘Tuankanku’ sebenarnya adalah luahan saya
tentang rimasnya rasa dijadikan rujukan dalam sesebuah kelompok sedangkan kita
semua manusia yang sama-sama masih belajar.
“Bait lirik ‘Aku tak ingin merdeka’ merujuk kepada alangkah
baiknya saya jadi bodoh semula supaya tiada sesiapa yang jadikan saya sebagai
rujukan. Perasaan rimas, daripada kebebasan untuk belajar dan sekarang tanpa
sedar, saya dijadikan tuan atau guru kepada sesebuah kelompok. Saya tidak
mahukan itu!” tegas S. Razali.
Mengulas EP ‘Kembang Mas’, karya S. Razali menawarkan suara
dan bunyi alternatif agresif, jika bukan yang baharu.
S. Razali tidak perlu menjelajah, menempatkan diri dalam
jurang gelap untuk menghasilkan karya-karya dalam ‘Kembang Mas’.
Secara nyata, ia adalah hasil daripada hal-hal tak selesai
dalam dirinya, perkara yang jarang disentuh oleh pengkarya masa kini di negara
kita.
Setiap kali mendengar ulang EP ini, ia seakan menyenangkan, berghairah,
tidak ada rasa geli, apatah lagi mendengarnya ketika demam, tidak merimaskan.
Bagaimanapun, EP ‘Kembang Mas’ bersifat sangat personal
secara keseluruhan, seperti melihat rakaman video di galeri dan sudah tentu, EP
ini masih banyak perkara belum diselesaikan, maka ia membawa kita semua,
sebagai pendengar, mempersoalkan tentang masa akan datang.
Apakah ‘bahasa hati’ S. Razali di usia 30 tahun? Mampukah genjrang-genjrengnya
itu membuatkan kita tenggelam lagi?
Comments
Post a Comment