1 Disember 2002, band indie rock, Free Love ditubuhkan di Ipoh. Menggabungkan geng daripada krew Bodysurf Music, sebuah label indie yang wujud sejak 1997. Barisan awal ketika itu adalah Mohd Jayzuan di suara dan gitar, merangkap komposer dan penulis lirik, Chain, frontman band grunge; Bloodymary di gitar, Ley pemain gitar satu lagi band indie rock Ipoh; Harmacy, di bass dan Herri Hamid, pra The Hans dan Bittersweet yang bermain dram.
Berlaku beberapa pertukaran ahli band sepanjang awal-awal tahun penubuhan Free Love sebelum selesai dengan barisan dianggap 'klasik' Free Love terdiri oleh Mohd Jayzuan (suara, gitar, komposer & lirik), Ducktoi (gitar & suara) --frontman band indie rock kultus; Muck, Mohammad Nadzri (bass & suara) --frontman hero garage pop, Boneless Mahoney (kini Lovethee) dan Mohd Hazriq (drums) --drummer Harmacy.
Antara pernah bermain dengan Free Love seperti Hana, frontwoman band power pop; Lucy in the Loo dan juga Lopong, pemain drums band math rock; Sgt. Weener Arms.
Pada tahun 2008, mereka telah mengeluarkan album berjudul 'Feed Us with Yr Love' mengandungi 12 trek dibawah label Bodysurf Music yang merupakan satu-satunya album mereka. Kulit muka album dibikin oleh seniman kontemporari Malaysia ternama, Ise Parkingproject (kini arwah).
Sebelum album, Free Love pernah menyumbangkan dua buah lagu pada dua kompilasi, 'Indie Rock Darling' dalam Kopi SeChewen 3 (2003) dan 'Hey Ho, I Love You!' dalam Radio Malaya (2006).
Selain aktif di Malaysia, Free Love turut bermain sekitar Asia Tenggara; pernah tour ke Singapura, Indonesia dan Filipina. Malah mendapat tawaran ke Hong Kong, Eropah dan England.
Pernah menandatangani kontrak dengan Sizzleteen Records, sebuah label indie di New York. Malangnya Free Love tidak sempat menyiapkan album dalam masa yang seharusnya membuatkan album tidak dapat dipasarkan di Amerika Syarikat.
Ditanya pada Jayzuan, kenapakah mengeluarkan semula album dalam bentuk digital pada tahun 2023, beliau menjawab, "baru ni saya siapkan katalog lagu-lagu saya untuk hal-hal hakcipta, sedar tak sedar, saya dah tulis lebih daripada 50 buah lagu, sebagai artis underground, rasanya not bad lah kan," sebelum menyambung, "... dalam katalog tu termasuklah ada lagu-lagu Free Love, saya langsung terlintas nak keluarkan semula dalam bentuk digital, di zaman ada bermacam platform atas talian ni...”
Tambahnya lagi, “... lagipun saya sentiasa nak orang dengar album tu, sebab saya consider dengan Free Love lah saya mula jadi penulis lagu atau komposer dengan lebih serius, sebelum tu zaman main band grunge (Bloodymary), saya tulis lirik je, zaman sebelum Bloody pulak, budak sekolah tulis lagu cincai-cincai je...”
Ketika dipersoal masih adakah yang dengar muzik indie rock 90an dengan sentuhan lo-fi macam itu? Jawabnya, “... lepas album kami dah takda di pasaran, kami dah tak cetak lagi CD, CD kami bikin 1000 keping. Kadangkala ada orang masih tanya nak cari CD kat mana.
Beberapa tahun lalu ada label indie Jerantut, Gold Soundz, keluarkan dalam bentuk kaset, terhad 200 buah je. Saya tak tahu lah, orang nak dengar lagi atau tak muzik Free Love, tapi saya suka menganggap, digitalkan ni lebih pada usaha pengarkiban, kot ada nak rujuk semula atau apa-apa, maka ada la satu tempat nak digeledah.”
Baru-baru ini UNESCO mengumumkan Ipoh sebagai jaringan bandar kreatif mereka dengan mengelarkan Ipoh sebagai 'Indie Rock City of Malaysia' dan perkataan-perkataan seperti 'Ipoh Sound', 'rusty, lo-fi dan sloppy' antara yang dicatat di web rasmi UNESCO.
Ditanya adakah album Free Love ini 'Ipoh Sound', Jayzuan membalas, "dulu yang pertama sekali gelarkan 'Ipoh Sound' ni majalah Klue, masa awal 2000an dulu.
Ciri-ciri yang ada dalam album Free Love ni, ada pada banyak band Ipoh, terutama sloppy tu, Ipoh ramai slackers, tu mungkin buat band pun sloppy..." sambungnya lagi, “... paling obvious walau kita main muzik konon macam omputih, tapi accent Ipoh tu tak boleh hilang, tu paling 'Ipoh Sound' la!" Jenakanya sambil ketawa “... jadi untuk menjawab soalan tu, ye, album ni ‘Ipoh Sound’."
Free Love dikatakan masih dapat tawaran berpanggung, tapi hingga sekarang mereka masih belum pernah muncul lagi di mana-mana pentas.
"Kali akhir kita main full scale show sama Efek Rumah Kaca tahun 2010, beberapa bulan sebelum tu, hujung 2009, kami open untuk band punk penting dunia, Buzzcocks. Itu la antara show-show akhir kalau tak salah...”
'Feed Us with Yr Love' oleh Free Love sekarang boleh didengari di Spotify, Apple Music, YouTube Music, YouTube, Amazon Music, Tidal, Deezer, Beatport, Pandora, Vevo, TikTok dan lain-lain.
Comments
Post a Comment