Kelahiran bermula dengan tangis kemudian ia mengenal bunyi, rasa dan kata. Sesuai usia, ia kini merangkak, bertatih dan berjalan.
Kata Pessoa mengenai kehidupan, ia menyerap ke dalam diri
dengan tiap perlakuan zahir dan lahir, dan seperti jaringan sang labah-labah
maha agung, ia menjerut kita dengan halus, menjerat kita perlahan-lahan dalam
buai rajut kematian, meninggalkan kita berayun dengan angin.
‘Sulung’ adalah kelahiran pertama kugiran bernama SERU sejak
ditubuhkan. Menurut kugiran bertasbihkan folk-post-rock ini, ‘Sulung’ adalah
perjalanan pendengaran, menangkap intipati kehidupan manusiawi dari pencarian
hingga penemuan diri.
‘Sulung’ menampilkan sembilan buah lagu yang kental bernuansa Malaysiana serta disulam dengan genjrang-genjreng post-rock. Bukan itu sahaja, beberapa trek turut diberi nafas melalui sajak-sajak sederhana, sekaligus menghadirkan ambien hitam kelabu.
Berkeringat dalam sembilan trek, secara keseluruhannya ia
menawarkan kelainan, sedikit bercitarasa, tidak berlebihan dalam menumpahkan
darah. Sejujurnya, ‘Sulung’ tidak begitu menarik untuk diulas satu-persatu. Seperti
kata SERU, ‘Sulung’ adalah perjalanan pengalaman.
Sebagai kelahiran sulung, ia memilih jalan selamat, sebelum
kita dibawa menginjak kaki ke daerah-daerah berduri.
Sehingga ke trek ‘Buai’ yang penuh manusiawi, trek tersebut menarik
kita ke dalam matahari, menguras rasa kelam, tidak mahu terjerumus dalam
nuansa-nuansa klise secara berlebihan. Dalam masa singkat saja, pendengar kini
beranjak dewasa melalui ‘Sambung Nyawa’ dengan dorongan fenomenologi.
Di sana, ia mendatangkan pergolakan dan ditambah pula dengan
bunyi bingit yang cuba meredamkan segala keresahan selayaknya hidup sebagai orang
dewasa. ‘Sambung Nyawa’ ini menunjukkan bahawa SERU bukanlah kugiran boleh dipandang
sepi, SERU setidaknya memahami konsep tersebut dengan nalar – baik – buruk.
Setibanya di trek dua terakhir, SERU menyedarkan kita semua
bahawa ‘Sulung’ adalah angan-angan anak kecil, cuba mengvisualisasi kedewasaan
dan kematangan. Untuk itu, SERU bijak memilih ‘berangan’ di ‘Taman Permainan’
sebelum bergelut di dalam lumpur.
'Sulung' oleh SERU kini boleh didengarkan di https://seru.bandcamp.com/album/sulung
Comments
Post a Comment