KINDERGARTEN KIDS WITH A CROOKED TEETH MAJOH LO-FI!


Ketika ranah muzik Malaysia sedang menjalani ke arah bunyian manis-manis selain menunggang indie, Kindergarten Kids with a Crooked Teeth berlumuran dengan lumpur, memilih jalan yang tidak memuliakan sama sekali. 

Kindergarten Kids with a Crooked Teeth adalah sebuah band dianggotai oleh orang-orang absurd bahkan jika ia tidak tertulis di sini, kugiran lo-fi ini hanyalah sebuah mitos, al-kisahnya tersimpan kemas di antara gunung Santubong dan Sejinjang.

"Kindergarten Kids with a Crooked Teeth (KKWACT) dianggotai oleh tiga orang dan ketiga-tiga orangnya adalah aku."

"KKWACT adalah Keemiy (vokal), Alzam (gitar) dan Peng (dram)," katanya.

"Hah?!"

"Keemiy, nama aku, Alzam, still nama aku dan Peng, nama aku masa kerja di kantin kolej," jelasnya lagi.

Bercerita mengenai rilisan-rilisannya di demo 'With Her', Keemiy mengatakan bahawa projek berkenaan diinspirasikan daripada hero-nya, Ned's Atomic Dustbin. 

"Band projek sebelumnya, Sayap Kuching dengan Red's Electic Dreams digabungkan untuk beradu tenaga dalam demo 'With Her'.

"Demo 'With Her' ada lima lagu kesemuanya - 'Jumping All Around', 'Playground'. 'Uppercase', 'Izzy', dan 'The Next Day," katanya.

Tambah Keemiy lagi, "Dalam demo tok, ada dua igek jak lagu ada lirik, nak lain ya semuanya spontan jak aku sebut apa pun aku siktauk."

Keras bernuansa bau hancing indie-rock, Kindergarten Kids with a Crooked Teeth dengan demo 'With Her' nyata lebih berahi berbanding band projek sebelumnya iaitu Sayap Kuching atau Red's Electic Dreams.



Jika anda mengikuti Keemiy di Instagram (@AlzamHakeemiy), anda pasti mengatakan hal dilakukannya adalah lebih daripada kegilaan.

Bahkan, pengasas band bingit dari Samarahan, Caustic Cross, Fattah Muhd, pernah menggelar Keemiy sebagai 'lone ranger'.

Mungkin boleh saja disenaraikan kegilaannya tetapi biarlah jari-jemari anda bekerja sendiri melihat kegilaan-kegilaan Keemiy. Ketika itu, percayalah, anda terasa sedikit dekat dengan Sang Pencipta atau lebih teruk, anda mula berasa malu dengan senarai main lagu anda di strim.

Keemiy juga tidak sesekali menyebut 'industri' atau lebih menggelikan, berzikir tentang 'karier' apabila meriliskan karya-karya di pelbagai medium. O Tuhan, sediakan syurga buat Keemiy!

Selain meratib nama-nama Daniel Johnston, Sebadoh, Beat Happening dan Pavement, Keemiy juga menunjukkan minat terhadap hero lokal - Muck serta Mohd Jayzuan.

Kebetulan, aku sempat lepak dengan Mohd Jayzuan beberapa hari lepas. Aku main demo 'With Her' dan hanya beberapa saat lagu 'Uppercase' berkumandang, "Shit, aku meremang," respon Jay sambil menunjukkan tangannya. 

Ya. Dua mata aku sendiri menjadi saksi Mohd Jayzuan meremang.

"Budak ni faham indie, beb," kata Jay.

"Baguslah tak ikut pattern yang ada dalam scene sekarang, tak salah lagu-lagu sekarang main kemas, sangat bagus kalau itu pasaran hang nak main, tapi muzik-muzik macam, hmmm, apa nama budak ni? haaaa, bagi satu elemen lain.

"Raw. Lo-fi!" tambah Jay.

"Hang kena tulis budak ni atau mainkan lagu dia kat Gedegang! ni kerja hang, Zhaf!"


Comments