Lampu dimalapkan lalu meninggalkan cahaya kuning simbolik serta nafas-nafas di ruang Riwayat merusuh kekacauan antara - penuh curiga - ketidaktahuan - jangkaan setinggi langit.
Malam itu dimulakan dengan bacaan teks pengisytiharan darurat 13 Mei 1969 oleh Hafiz Hamzah sebelum Zulhezan menerjang dengan bunyi-bunyiannya, di mana beberapa minit pertama ia berjaya menggambarkan chaos seperti diharapkan.
Boleh dirasakan, mata-mata penonton resah, tidak senang duduk dan berdiri bahkan tidak ramai mengambil kesempatan untuk merakam. Barangkali, persembahan itu terlalu sayang untuk disia-siakan.
Pada mulanya, malam itu berada di tangan Zulhezan dan Hafiz Hamzah sepenuhnya. Itu harus diakui kedua-duanya menguasai setiap sudut di ruang intim tersebut. Bahkan dari segi estetik, ia berjaya menawan apatah lagi susunan bunyi-bunyiannya mampu membuatkan kita tidak berganjak sedikit pun.
Keupayaan itu bagaimanapun tiba-tiba membawa kita ke dalam sejarah baru, walaupun sihir-bunyi Zulhezan diselang-selikan dengan bacaan teks.
Hingga titik ini, ia seolah membawa kita ke naratif lain yang lahir di ruang Riwayat dan menjalar hingga ke hujung malam.
Zulhezan dan Hafiz Hamzah seakan membiarkan ceritanya dikawal oleh penonton pula kali ini tanpa ada sempadan, mungkin dengan idea untuk memberanikan diri bertaruh pada api. Jika ya, ia adalah hal yang berani dilakukan.
Hingga titik ini ia seolah membawa kita ke naratif lain yang lahir di ruang Riwayat dan menjalar hingga ke hujung malam.
Risikonya tidak kecil kerana hingga ke akhir penamat persembahan mereka, nuansa malam itu terlepas liar dari genggaman sebelum ia pulang semula ke Riwayat dan mencari jalan kekal untuk keluar. Atau bahasa lain, fokus sejarah digendong akhirnya terlepas serta dilupakan seperti angin lalu.
Comments
Post a Comment