Kugiran rock alternatif, motherwit akan melancarkan video lirik d.antara dengan penampilan khas Shuhusna pada 6 Februari ini.
d.antara merupakan single kedua dari EP anteseden yang akan dilancarkan di semua platform digital utama pada 4 Mac 2023.
Menurut vokalis dan gitarisnya, Sahaq Ibrahim, lagu tersebut merupakan perantara untuk dua haluan muzik berbeza yang dibawakan motherwit.
“Lagu ini diletakkan sebagai trek ketiga daripada lima lagu yang akan dimuatkan dalam EP kami. Tujuan ia diletakkan di tengah-tengah kerana ia merupakan perantara untuk dua haluan yang kami bawa.
“Dua lagu pertama lebih dekat dengan haluan muzik dalam EP pertama kami, “archived” demo manakala dua lagu terakhir lebih dekat dengan haluan baharu motherwit,” katanya.
Tambah Sahaq, melalui d.antara, motherwit cuba meneroka sisi berbeza dalam percintaan, terutamanya untuk mereka yang dah bercinta lama.
“Dalam d.antara, konflik utamanya tentang komunikasi. Apabila bercinta dalam tempoh yang lama, kadang kala hubungan jadi kelam dan tawar, tapi pasangan ini masih mencintai satu sama lain.
“Satu pihak mengambil mudah terhadap pasangannya dan pasangannya itu pula sudah terlalu
percaya yang mereka saling menyayangi, menyebabkan dia tidak berusaha untuk menunjukkan kasih sayangnya. Perhubungan itu akhirnya menjadi suram.
motherwit menggunakan isu konflik ini untuk memberikan perbezaan kepada lagu-lagu lain yang ada di pasaran masa kini.
Selain itu, motherwit turut membawa tema lirik dan susunan yang unik, tambahan melalui single d.antara ini juga, merupakan lagu pertama motherwit menampilkan vokalis jemputan iaitu Shuhusna.
“Pertama kali dengar lagu ini, saya terus terima pelawaan motherwit," jelas Shuhusna.
“Bahagian verse dan korusnya ada rasa gembira dan manis tetapi menuju penghujung, ia jadi
gelap dan kucar-kacir.
“Saya kagum dengan peralihan antara dua bahagian itu. Tak terfikir pula lagu yang awalnya
gembira boleh bertukar menjadi begitu gelap."
Video lirik d.antara akan ditayangkan bermula 6 Februari di saluran Youtube motherwitnoise manakala untuk versi audio pula boleh dinikmati bermula 24 Februari di semua platform digital utama.
Comments
Post a Comment