Projek muzik alternative metal dari Seri Iskandar, GLISTENING REDCHAIR (dipendekkan
GRC) telah mengumumkan terbitan single terbaru mereka pada Khamis, 15 Disember 2022.
Berdurasi 2 minit, FIRSTCUT//ETERNALPAIN menghentam pendengar dengan bunyian
padat gabungan gitar bingit, dram padu dan vokal kasar yang menceritakan kisah trauma
psikologikal, isu-isu dalam pertalian darah dan keazaman untuk mengatasinya demi
ketenangan jiwa.
Lagu ini mengetengahkan evolusi muzik GRC ke arah bunyi dan idea yang belum pernah
diterokai oleh mereka: tona metallic hardcore dengan rentak yang laju dan juga riff yang
dihasilkan oleh ‘bunyi bising tanpa kord’. Individu di sebalik projek ini, Gheff Abd Ghafar,
memberi komen, “Untuk GRC, saya hanya ada satu matlamat: mencipta muzik yang memberi impak. Tak kira bagaimana bunyinya atau cara untuk mencapainya, ia mestilah berat sama ada dari segi
sonik atau lirik, dan memberi kesan mendalam kepada pendengarnya,"
Tambah Gheff, "Saya tidak meletakkan had dalam penciptaan muzik atau berfikir tentang persepsi masyarakat tentang
GRC demi mengekalkan kesegaran bunyi dan membuatkan ia menarik untuk mereka dan
untuk saya juga.”
Lagu ini juga mengajar Gheff tentang hikmah di sebalik penyerahan dan memberi ruang
kepada idea-idea yang di luar jangka kebiasaan.
“Jika sebelum ini saya cenderung untuk terlalu meneliti lagu-lagu saya, contohnya
mengubah riff untuk mencapai kesempurnaan atau mencari tona yang paling bersih, kali ini
saya memilih untuk lebih terbuka dalam menerima kebisingan dan bunyi-bunyi yang tidak
sedap didengar. Kadang-kadang ada sebabnya kenapa riff-riff yang paling hodoh akan lebih
mudah diingati.”
FIRSTCUT//ETERNALPAIN juga menampilkan bait percakapan yang dipersembahkan oleh
rakan baik Gheff iaitu Sahaq Ibrahim, vokalis band rock lokal Motherwit.
Sebuah lirik video rasmi telah diterbitkan pada Khamis 15 Disember 2022 jam 9:00 malam
di saluran Youtube GRC.
Comments
Post a Comment