METAPHYSICAL OLEH SYAFIQ FAWWAZ, ANTARA IMEJ SURREAL DAN NUANSA BUNYI

 


Teks: Zhafirin Zulkifli
Foto: Danial Fuad/Baskl


Metaphysical: A Compendium of Surreal Images and Words adalah sebuah buku gabungan imej surreal disertakan dengan sepotong ayat dan juga disekalikan dengan CD audio. Penulis buku ini adalah Syafiq Fawwaz, merupakan seorang pengkarya diranah seni rupa. Buku ini diterbitkan oleh Studio Kaukab.

Audio yang terdapat pada CD ini adalah hasil kerjasama Syafiq Fawwaz sendiri, bersama Studio Kaukab dan Blocked. Imej berserta audio ini bukanlah hal yang baru, bahkan disosial media sendiri adalah salah satu medium popular untuk mengadakan hal seperti itu. Cuma, ia tidak cukup estetika berbanding dibukukan dan dikeluarkan dalam cakera padat. Tetapi, konsepnya masih sama.

Saya yakin, untuk kita melihat sebuah imej dipadankan dengan audio, agak sukar untuk dikurasi kerana banyak penilaian yang perlu dilakukan terutama sekali mengenai nuansa dan keberadaan antara imej dan audio. Lebih-lebih lagi, kita tinggal didunia yang seolah semuanya memerlukan jawapan.


Ketika mendengar audio sambil menatap imej yang ada, ia mengingatkan tentang muzik Nordic. Ia barangkali terma yang keterlaluan atau mungkin juga salah, muzik Nordic ini datang dari negara Skandinavia, ia juga dianggap dalam Bahasa lebih moden – muzik folk + bentuk seni muzik. Muzik Nordic ini adalah sebuah karakter yang membolehkan ia menjadi sentimental, nostalgia, mahupun melankolia. Ada banyak kajian tentang muzik ini hingga ia boleh terbentuk melalui lingkungan sosial, politik, dan juga agama. Memetik kata-kata Dodge, “muzik mengkritik dirinya sendiri, mengkritik musisi dan juga mengikritik konteks identiti masyarakat dimana muzik tersebut dilahirkan.”

Berbalik kepada audio yang terdapat dalam CD dan imej surreal dalam buku ini, ia jelas mahu memberi kesan kepada audio mahu pun imej. Sejujurnya, tidak ada yang jelek tentang itu kerana keperluan untuk imej dan audio atau sebaliknya begitu seimbang.

Ayat disebelah muka surat antara imej-imej tersebut sepertinya sekadar mahu ia kelihatan dalam sebuah pameran, senang kata, ia tidak lebih sekadar tajuk untuk karya imej itu. Jika perkara itu bukan niat asal penulis, makanya ia sangat mengganggu perjalanan buku tersebut bahkan ia akan merosakkan nuansa audio tersebut.

Selebihnya, saya sukakan konsep sebegini, ia adalah sebuah pendidikan untuk pemula mengenai seni rupa, muzik dan sastera sekaligus.

Apa yang anda boleh jangkakan dari rilisan ini? Ia gelap, bergetar antara realiti dan fantasi, ruang yang sempit untuk anda bernafas, namun ia memberikan anda sebuah makna  baru tentang apa sekalipun, terutama sekali tentang chaos, kehidupan dan kegelisahan-kegelisahan.

Comments