SILIKA adalah sebuah filem eksperimental hitam putih, terbitan Krew Filem Sek Kito (KFSK). Filem yang mengekori jalanan pembikin filem Azfar dan Faris, yang juga ahli kumpulan muzik LUST ini membawa penonton menyelosori selerakan kota di waktu pandemik. Filem ini memaparkan siri visual yang menarik oleh efek lensa yang kabut, kasap, kasar dan unik. Sewaktu penggambaran filem berjalan, terakam oleh lensa mereka kisah aneh tiga insan: anak (Fakhrul Aiman), orang asing (Eli Orkid), dan seorang pengecong (Nisdusmas). Aneh, bilamana ketiga manusia ini mengekspresi diri mereka secara ekstrem di sisi refleksi “vantablack” – dalam sedetik, minda ke tiga insan ini terolah ke satu sifat, di mana mereka hilang kesekatlakuan, dan diri mereka yang sebenar muncul melalui bahasa tubuh dari gerak tari primal yang viseral. “Vantablack” menjelma melalui herot-benyot biasan cermin yang terwujud entah dari mana, namum kewujudannya itu.. bukan tanpa tujuan. Naratif filem ini usai bilamana “vantablack” berkecai, memperlambangkan ketiga insan itu kini dapat meneruskan hidup setelah berhadapan dengan diri mereka yang benar.
Melalui Silika, LUST ingin mempersaksikan penceritaan eksperimental yang tulus visual dan muziknya melalui gabungan unik “vantablack” dan jalinan bunyian, selain gaya perfileman gerila oleh KFSK. Tiada dialog yang hadir di dalam filem ini. Seluruh naratif dan ekspresi emosi yang dimainkan watak adalah gerak tari semata dari seni persembahan yang dikareografi oleh Eli Orkid. SILIKA difilemkan di tengah kemuncak pandemik, ketika PKP ke 2 hampir tiba. Filem pendek ini adalah kolabrasi pertama di antara LUST dan KFSK. SILIKA diterjemahkan melalui gaya visual yang mencebis sekelumit hidup harian manusia biasa: pemandu bas, pengunjung pasar malam, tukang-sapu, tukang gunting, pemilik gerai – kebenaran yang hakiki.
"Aku enjoy SILIKA sebab dia datang idea bertentangan dengan Vantablack". Ungkap Faris ketika sesi tayangan berakhir. Hujan lebat di luar Live Facts pada malam itu, sambil Faris hanya berdiri melihat aku menggulungkan rokok. "Macam mana datangnya SILIKA?" tanya aku. "SILIKA, nama asal dia KACA/CERMIN, dan diorang.." Faris menunjuk kearah Arman, "Dia yang bagi nama SILIKA". Arman menidakkan, mengatakan bahawa SILIKA adalah tajuk yang dipersetujui bersama. KFSK adalah singkatan kepada produksi Krew Filem Sek Kito, kata dari dialek Kelantan yang membawa maksud krew filem kami. Diwujudkan pada hujung 2019, KFSK mengkhusus kepada pembikinan kandungan kreatif yang berteraskan muzik seperti video dan sesi persembahan secara langsung. Produksi ini diterajui Arman Shahmiey, Firdaus Malek, Nizam Omar dan Saiful Azwan. Selain itu, produksi ini juga dibantu oleh Sahrul Ridzwan, Loqman Hakim, Nash Haron, dan Faiz. Apapun itu, soalan "Korang sakit,ke?" hampir terlepas dari mulut tapi entah kenapa aku lupa nak tanya soalan tersebut tatkala fokus menggulungkan rokok. Ia diabaikan dan terlupa sehingga menaip semula mengenai tayangan tersebut. "Vantablack adalah tentang keburukan internet pada semua, dan SILIKA hadir sebagai cerminan ekspresi E.P tersebut, and that's why bila diorang tunjukkan idea SILIKA, aku rasa kita patut buat. Kredit patut bagi kat diorang (Krew Filem Sek Kito)". Ucap Faris.
Banyak hal tentang idea SILIKA untuk melangkah ke arah lainnya, dan sudah tentu teruja segala idea yang datang dari tangga Live Facts, berharap ia dikerjakan dan berhasil untuk memperluaskan lagi karya-karya LUST dan juga Krew Filem Sek Kito. Ketika entry ini disiarkan, SILIKA sudah pun boleh ditonton di saluran Youtube dan untuk mengetahui lebih lanjut dan mendalam tentang karya LUST dan Krew Filem Sek Kito boleh hubungi mereka di platform sosial media mereka.
Comments
Post a Comment