Teks: Zhafirin Zulkifli
Foto: Redzuandy Ramli
Redzuandy Ramli atau dikenali sebagai Red adalah seorang musisi dan juga pereka grafik yang menetap di Keramat, Kuala Lumpur. Seketika aktif bersama Galaga, Pintu Rintangan Api, Foliage, Partimelovers, dan Artik, kini Red meriliskan rilisan terbaru, '1994' untuk projek solo beliau yang menggunakan nama pentas Redzuandy Ramli.
Mengenai rilisan terbaru beliau yang bertajuk '1994', Red mengatakan disebalik pandemik Covid -19 yang melanda, rilisan '1994' dapat direalisasikan ketika MCO dilaksanakan. "Alhamdulillah, hikmah disebalik MCO, finally projek solo ini dapat direalisasikan. Sebelumnya saya ada buat beberapa draft tracks tapi separa siap. Dengan ruang masa yang ada ketika MCO, Alhamdulillah semuanya sukses." Kata Red.
Ketika soalan diajukan samada ada titik-temu antara grafik, visual dan muzik, di kaca mata Red, seorang pereka grafik, beliau merespon sederhana. "Pengisian kata-kata, pemilihan warna, rekabentuk yang terhasil secara tidak langsung mengisi kekosongan lirik pada alunan lagu tersebut dan meresap terus ke dalam jiwa."
Alhamdulillah beberapa tahun kebelakangan ini, saya banyak membuat content graphics yang berunsur Islamic atau spiritual. Antara perkara yang perlu dilakukan sebelum memulakan design adalah pemilihan lagu, playlist. Apabila design yang berkaitan dengan spiritual dan Islamic, lagu tanpa pengisian vokal adalah yang terbaik buat saya." Jelas Red. "Mungkin ini terkesan dalam penghasilan lagu-lagu yang dirilis. Faktor suara yang tidak sedap untuk menyanyi juga pun menyebabkan ketiadaan vokal di dalam lagu. InshaAllah, bermula dengan track 1994 ni, direction mungkin mula berubah."
Di akui Red sendiri, pengaruh album Sonic Youth 'Experimental Jet Set, Trash, and No Star' adalah "recall" dan memberi impak pada musikalisasi '1994'. "Idea 1994 terlintas dalam suasana terkini pandemik yang sedang melanda. Kecelaruan dan tidak menentu membuatkan saya pada suatu ketika mula refresh zaman sekolah circa 90s di mana masa tu keadaan boleh dikatakan sangat chill dan peace. Antara hal paling best saya recall dan memberi impak adalah 'Experimental Jet Set, Trash, and No Star'."
Album 'EJSTANS' adalah rilisan Sonic Youth pada tahun 1994. Sebelum menggali dengan lebih dalam, saya sekadar baca kaitan Nirvana dan Sonic Youth hinggalah klimaksnya pada suatu petang saya menonton MV 'Bull In The Heather' dalam rancangan Over The Edge di Channel [V]. Runut bunyi selingan sebelum iklan rancangan ini juga dipetik dari track-track di dalam album 'EJSTANS'. Masa tu rare, ada TV4 iaitu MetroVision. Rasanya sekitar Lembah Kelang sahaja yang dapat siaran MetroVision. Mula dari situ saya tersangatlah menggilai Sonic Youth. Tidak ketinggalan rancangan Alternatif di TV3 juga ada memainkan MV 'Little Trouble Girl'."
"Maka sedikit sebanyak terjawablah kenapa saya meletakkan tajuk 1994 ni pada rilisan terbaru. Banyak lagi kaitan cerita pasal lagu 1994 ni. 90an adalah sela masa yang best buat saya. Semuanya suasana kehidupan seharian dan muzik pada ketika itu." Tambah Red.
Pendengar bukan lagi sekadar mendengar muzik yang pasif, Red merespon muzik seharusnya komunikasi dua hala dan pendengar adalah sebahagian daripada proses komunikasi, "Muzik mesti ada two-way communication. Kalau one-way, bererti muzik atau lagu-lagu hanya disimpan dalam storan, tidak diperdengarkan pada khayalak umum. Apa yang diharapkan pendengar faham dan boleh relate dengan apa yang cuba disampaikan melalui lagu atau muzik tersebut. Walaupan syok sendiri itu dijadikan kayu pengukur dalam membikin lagu, view pendengar juga harus diambil perhatian agar rilisan seterusnya lebih solid dan proses menjadi lebih mudah dengan adanya perkongsian knowledge daripada para pendengar." Respon Red, yang turut mengatakan muzik yang baik adalah muzik yang tak ikut peraturan atau tak 'skema'.
"Banyak perkara yang saya tak tahu dan perlu belajar. Namun begitu, ada juga nilai atau stand yang perlu diteruskan dan dikekalkan agar syok dalam membikin muzik itu terus membara. Dalam apa saja perkara yang dilakukan kena ada minat. Bukan terpaksa."
Mengenai projek akan datang, Red memberi bayangan akan ada rilisan seterusnya, termasuk Parttimelovers turut dalam perancangan untuk merakam dan merilis. "InshaAllah ada beberapa buah lagu solo project sedang disiapkan dan bakal dimuatnaik di channel Youtube dan Bandcamp. EP atau full length itu belum pasti. Sejurus selepas itu ada beberapa release schedule yang tertangguh iaitu bersama Artik, dan lagi satu project yang belum dimulakan lagi. InshaAllah, Partimelovers juga ada perancangan untuk merakam dan merilis. Dengan izin Allah, diharapkan semuanya sukses." Akhiri Red.
Untuk mendengar karya rilisan Redzuandy Ramli, klik pautan https://redzuandyramli.bandcamp.com/releases dan juga saluran Youtube https://www.youtube.com/channel/UCcRUvaPmwIytfJl5qUYw9Cg
Comments
Post a Comment