RILISAN MEI DUAPULOH: TAHVOLE, SKEED PANDA DAN ORANG PLANET.


Tahvole adalah sebuah kugiran dari Jasin, Melaka yang baru saja merilis single bertajuk (Kita Adalah) Apa Yang Kita Hidangkan’   untuk menandai eksistensi karya-karya mereka. Tahvole terdiri daripada Hafidz Adam, vokal, kekunci, dan segala jenis kebisingan, Hamizal Razali, kekunci, mesin drum, dan segala jenis kebisingan yang lain, Shamsul Hisyam, bass dan selain jenis kebisingan.

‘(Kita Adalah) Apa Yang Kita Hidangkan’ merupakan single ketiga daripada album sulung yang direncanakan rilis pada Mac 2020 yang lalu, namun terkesan daripada pandemik yang memamah semua rancangan; album ini ditunda sehingga dirasakan sampai masanya nanti.

"seperti semua lagu yang terhasil sebelum ini, kami mendapati apa yang membuatkan ia menarik untuk dikongsikan ialah kebanyakan lagu yang berhasil menemui sifatnya dalam keadaan paling selesa tanpa dipaksa-paksa—lancar seperti pisau kasut luncur ais di atas sebuah tasik beku yang luas." Jelas Hafidz Adam. "Mungkin lagu-lagu ini diperbangunkan pada dinihari (ketika sesi latihan mingguan kami berlangsung)—1:30 hingga 5:30 pagi. barangkali sunyi awal pagi telah menyerapi dan menjelma dalam bentuk bunyian mengikut ketetapannya. Kesemua proses pembuatan rangka dan liriknya berlangsung pada masa sekitarnya di studio latihan."



Berdurasi tiga minit lebih, ia merupakan strategi popular sebagai sebuah lagu straight to the point pop radio biasa. Namun bila memikirkan ada lirik yang panjang dan rangkap muzikal yang sarat untuk dipadankan pada ruang terhad; "kami cuba untuk menyusun semula strukturnya. Kelaziman merangka intro, verse, korus dan outro; dengan matlamat sebuah lagu mesti berdurasi tiga minit lebih; ada keinginan untuk jadikan lagu ini seringkas dan sepadat yang mungkin. Lagu ini telah melalui beberapa kerumitan dalam penggubahan semula; outro asal digugurkan dan bahagian solo sebagai ganti di outronya; dan terkini, formatnya hanya mempunyai satu (sekali) korus sahaja."

Hafidz Adam turut menyentuh hal instrumentasi dan permainan, bass adalah bahagian yang dibina terlebih dahulu berbanding yang lain-lain. Berfoya-foya dengan idea sebuah format lagu yang mempunyai ‘attack’ bersalut hamparan synth yang tebal dengan gema, akhirnya siap sebagai ‘(Kita Adalah) Apa Yang Kita Hidangkan’ seperti yang kalian boleh dengarkan sekarang.

"Melodi untuk memuatkan suku kata liriknya hanya ada lima dalam 4/4 bar, jadi rangkap lirik yang sudah siap (juga seperti biasa); dipotong dan disesuaikan sebelum diacukan pada setiap verse. Asas prinsip kami ialah—tiada melodi nyanyian yang akan berubah, lirik harus beralah; menjadikannya dua kali ganda payah sekaligus memerlukan penggunaan kata yang cermat." Tambah beliau lagi.



Skeed Panda terjun ke dunia muzik sejak setahun yang lalu, dia sudah menunjukkan minat terhadap muzik sejak berusia 5 tahun. Dimulai dari Soul Rap hingga Trap, yang bagi dirinya merupakan sebuah lompatan besar dimana saat ini - Skeed Panda sedang dalam proses menyiapkan album pertamanya. Bad Rabbit adalah single perdana yang diketengahkan untuk memperkenalkan dirinya sebagai seorang - Skeed Panda. 

“Lagu ini berbicara tentang pengkhianatan oleh teman atau oleh siapa saja yang berbalik arah hanya kerana mereka merasa bukan dipihak yang menang atau dipihak yang benar. Saya juga fokus pada bagaimana anda dapat menemukan seorang pengadu dan saya menggunakan istilah “bitch”(jalang) untuk menunjuk seseorang yang pengecut, dimana mereka dengan mudahnya berpindah posisi untuk menghindari risiko yang dihadapi. Apa yang akan Anda lakukan terhadap orang-orang seperti itu? Anda tidak boleh membiarkan mereka pergi begitu saja, kereana mereka tahu segala tentang kita, sehingga cara terbaik untuk menangani masalah ini adalah dengan “beef them out” (mengajar mereka), Saya sangat siap dengan segala risikonya.”



Skeed Panda bergabung dibawah label produksi Pasukan Records sejak tahun 2019. Beliau berkolaborasi dengan produser muzik hiphop kawakan Sonjah dalam menghasilkan single Bad Rabbit ini. Beberapa single selanjutnya telah disiapkan mengiring langkah rilisan album akan datang. “Sejujurnya, pengaruh terbesar saya dalam muzik adalah masyarakat dan kehidupan yang saya alami, karena selama ini saya hidup didaerah yang kumuh di Surabaya. Pengaruh besar lainnya kebanyakan dari artis-artiss Hip Hop, saya mendengarkan Kendrick, Jay Rock, A $ AP, biggie smalls, 50 cent, dan Tyler. Saya menyukai kenyataan bahwa muzik itu dinamik dan terus bergerak dari generasi ke generasi sehingga saya boleh melakukan banyak eksperimen dalam berkarya.

“Dalam album ini saya ingin menjangkau OG's dan gelombang baru sehingga akan relevan bagi kedua belah pihak. Tujuan saya sederhana, saya hanya membuat muzik yang menyenangkan untuk semua orang dan melakukan lebih banyak eksperimen dan keluar dari zon selesa saya. Jujur, sukses dan wang adalah bonus yang dengan senang hati saya ambil. Saya tidak ingin menjadi siapa pun, saya hanya ingin menjadi original.” tutur Skeed Panda.


Orang Planet ditubuhkan pada sekitar tahun 2008 atau 2009 setelah tamat sekolah menengah dari pekan kecil di Kota Kinabalu, Sabah. Pada mulanya, Orang Planet amat tertarik dengan muzik bebas yang berlatarbelakangkan indie sehingga bersepakat untuk menubuhkan Orang Planet yang dipengaruh bunyian indie-rock. Berbeza dengan pembawaan Orang Planet masakini yang berevolusi dan cenderung kearah post-punk. Orang Planet adalah terdiri daripada Farees (dram) Onie (gitar dan Synthesizers) I.D (vokal dan gitar) dan Reena (bass).

Selepas merilis album Luz pada tahun 2019, Orang Planet kembali dengan single terbaru bertajuk 'Obscura' yang diriliskan pada lewat April lalu. "Obscura adalah lagu yang kami tulis pada hujung tahun 2019 dimana kami bercadang untuk merilis single tersebut selepas hampir setahun lebih tanpa ada material terbaru selepas lahirnya album Luz." Jelas Orang Planet melalui mesej peribadi di Instagram.



"Idea yang digunakan hampir sama dengan rilisan sebelum ini yang dirakam dan disusun di studio milik kami sendiri di Kota Kinabalu." Mengenai proses kreatif pula, Orang Planet lebih bereksperimentasi dengan muzik yang mereka cuba gabungkan dengan rif yang catchy tetapi masih mengekalkan bunyian yang gelap. "Dari segi penulisan dan penyampaian lirik pula agak tersirat dan juga sedikit puitis, berbaur percintaan tapi masih merasa ego dan garang." 

Mengenai perancangan akan datang, Orang Planet tidak menjangkakan bunyian atau elemen baru akan disuntik dan semahunya ia berlaku secara organik."Secara Keseluruhan, lagu ini terdengar agak minimal dari segi durasi yang pendek dan susunan yang agak mendatar. Trek akan datang mungkin ada sesuatu yang lain, kami akan bereksperimen dan selebihnya kami serahkan pada pendengar." Jelas Orang Planet.





Comments