Line up terakhir sebelum berpecah. Dari Kiri: Zamry Jaafar, Dessroll Wanara, Omar Drostan, Dae Bidari & Adim Alibaba. Foto oleh Syaiful Amrullah.
Silwayd adalah band Alternative Indie Pop yang berasal dari bandar Kuching, Sarawak. Bermula sekitar 2005 selepas Adim Alibaba membuat keputusan keluar dari band psikedelik pop Farrah, dan bermula saat itu beliau menulis lirik dan mengolah lagu. Ketika Adim melanjutkan pelajaran ke UiTM Shah Alam, projek solo beliau bermula di situ, di rumah sewa bujangnya. Pengaruh dari Ian Brown, Futon, Goodnight Electronic, Ladytron yang kebanyakkannya menjurus ke arah elektronika menjadi ikutan dalam mencipta lagu. Nama asal Silwayrd adalah Sillhoutte, diambil dari perkataan silhouette, tapi hilang huruf 'e' sebelum 't', akibat kelalaian ketika menaip untuk rilisan demo dalam keadaan tergesa-gesa.
CD demo pertama, Sillhoutte – For Saints, Sinners and You lahir pada tahun 2006 dengan bilangan yang terhad dan hanya dirilis untuk rakan-rakan. Sillhoutte juga pernah dikritik di dalam majalah muzik underground tempatan, R.O.T.T.W. kerana sarat dengan sampler. Demo kedua pula berjudul Poppaganda dirilis pada tahun berikutnya, juga dalam bilangan yang sedikit. Kurang yakin dengan kemampuannya bergerak solo, Adim beralih semula ke genre Britpop Alternative untuk berkarya lalu menjemput sahabat lama Edwin Jang Joseph (Paradoxical Opinion) dan Zamry Jaafar (ex-United Kids of Oi! / The Rudeboy) untuk beraksi bersama pada cuti semester pertengahan tahun 2007.
Foto terawal Silwayd, sekitar tahun 2007. Dari kiri; Zamry Jaafar, Edwin Jang dan Adim Alibaba
SLEEPING LULLABY, NEW CHAPTER DAN FIRST STANCE RECORDS.
Lagu pertama dihasilkan ialah ‘Sleeping Lullaby’ yang hanya mengambil masa semalam untuk disiapkan (Sleeping Lullaby pernah dinyanyikan oleh Adim bersama sahabat sekolej, Elly Kodry & Amir Zaki bagi mewakili UiTM dalam pertandingan nyanyian peringkat Universiti seluruh Malaysia anjuran International College of Music di Pulau Pinang tahun 2007 dan berjaya meraih tempat ketiga). Sleeping Lullaby dirakam di Kuching pada tahun yang sama di studio milik rakan beliau, Zuhal Firdauz Bawazier. Dua lagu seterusnya dihasilkan setahun kemudian, Beauty Scenery dan Borneoland ciptaan Edwin Jang yang telah dirakam di Kuching manakala lirik dicipta serta vokal dirakam berasingan oleh Adim di Shah Alam. Video klip eksperimental Sleeping Lullaby juga telah dirakam oleh Adim dan rakan-rakan di UiTM pada 2007 dan dimuat naik ke laman Youtube.
Sillhoutte lengkap sebagai sebuah band apabila Edwin Jang merekrut Khairul Azmin (bassist Paradoxical Opinion), Mohd Faizal (pemain dram Farrah) dan Mohammad Topiq (gitaris The Leaf) selepas kembalinya Adim bercuti semester untuk bersama. Dengan penambahan line up baru maka muzik pun sedikit berubah. Dengan pengaruh dari Suede, Oasis, Longpigs & Mansun, Silwayd cuba untuk mengetengahkan genre Britpop / Alternative dalam lagu-lagu mereka.
Demo New Chapter dirilis pada tahun 2008 yang mengandungi lagu-lagu seperti Beauty Scenery, Sleeping Lullaby dan Borneoland. Nama Sillhouette pun ditukar kepada Silwayd pada ketika itu, berikutan itu, demo ini pernah dirilis semula setahun selepas itu dengan menukar nama pada kulit CD dengan rekaan kulit yang baru. Masa ini semua proses adalah DIY, dari rakaman sehinggalah ke rekaan kulit CD dan dijual hanya RM10 sahaja.
Melalui laman sosial Myspace pada ketika itu, Silwayd memperkenalkan muzik mereka sehinggalah mendapat perhatian sebuah label rekod indie, First Stance Records yang bertapak di Kuala Lumpur. Diky Iskandar (Karisma, The Times, The Night Acts) bertindak selaku pengurus ketika itu. Silwayd berhijrah ke Kuala Lumpur pada penghujung 2008 dan dianggotai oleh Adim, Edwin dan beberapa muka baru antaranya Dae Bidari (keyboardist Zoo) dan Dessroll Wanara (drummer). Posisi basis diambil alih oleh Zamry Jaafar yang pernah bersama di awal penubuhan Silwayd. Bersama dengan First Stance Records selama setahun lebih, Silwayd pernah membuat persembahan di JB, Ipoh, sekitar Lembah Klang (Bijou Bazaar @ Eco Film Fest 2008, Satu Suara Concert @ One Utama, Gig @ City Mall JB, dan lain-lain) dan rancangan TV antaranya RTM1 Selamat Pagi Malaysia, Homegrown 8TV dan B-Spot Talkshow di TV9.
Persembahan pertama Silwayd di Miami Bar pada tahun 2008 di Kuching.
Rakaman mini album Silwayd yang dirancang bersama First Stance Records tidak berjaya dihabiskan berikutan masalah dalaman yang tidak dapat dielak. Silwayd ketika itu dibantu oleh Omar Drostan Clement (band Zoo/Nerd) setelah ketiadaan Edwin dalam gig-gig seterusnya. Trek-trek dari rakaman yang terbengkalai telah diolah semula dan dirilis sendiri oleh Adim pada September tahun 2010 dengan nama Dunia Kimia dalam kuantiti yang terhad 50 keping CD, dijual hanya pada sahabat-sahabat kenalan terdekat. Antara lagu yang terdapat dalam Dunia Kimia adalah seperti, Dunia Kimia, Roskalas, Doe Eyes, Sleeping Lullaby dan Sleeping Lullaby versi akustik. Persembahan terakhir Silwayd ialah di RTM Angkasapuri, Kuala Lumpur tahun 2010. Silwayd berpecah tidak lama selepas Zamry Jaafar mengundur diri dari Silwayd.
Iguana Pub, Kuching. Tahun 2014. Foto oleh Zaikerie Leen.
SILWAYD REUNION SELEPAS LIMA TAHUN.
Silwayd telah mengadakan reunion di Kuching,Gig Under Influences II pada 8 Febuari 2014 yang disertai oleh beberapa original line up iaitu Adim Alibaba, Edwin Jang Joseph, Khairul Azmin, Dae Bidari dan Mohd Faizal manakala Alod dan Dave Daveson (The Seeds) membantu menjadi sessionis untuk gitaris kedua dan drummer. Persembahan terakhir Silwayd adalah pada 10 May 2014 tahun yang sama bertempat di Iguana Pub, Kuching sebagai opening act untok Bittersweet.
"8 Februari 2014 merupakan tarikh kembalinya Silwayd beraksi setelah sekian lama menyepi. 5 tahun. Bukan sekejap. Rasa seperti mimpi bila dapat bersatu kembali bersama komrad. Sungguhpun ada sebilangan rakan/bekas anggota Silwayd yang tidak dapat hadir, line up reunion kali ini dirasai cukup padu untuk mengembalikan gelombang aura muzik yang pernah hilang seketika dulu dari tempat asalnya, Kuching." Menurut Adim, yang pernah memuatkan kenyataan ini di laman blog beliau, Ros Kalas pada tahun yang sama.
BANG! FASA ADIM ALIBABA BERSAMA HEROINE
"Ini adalah band terbaru yang aku sertai selepas kekecewaan aku dengan projek Jaguan yang gagal awal tahun 2019. Aku sebenarnya mendapat tawaran dari Heroine untuk berkolaborasi bersama mereka dalam kemunculan kedua mereka selepas sedekad menyepi dari arena muzik lokal di Kuching Sarawak. Aku di posisi sebagai vokalis dan penulis lirik, macam biasa." Jelas Adim.
Heroine yang ditubuhkan pada 2008 selepas Dutchess Sophie memilih haluan masing-masing dan mula membuat rakaman lagu melalui EL Factory record yang bertapak di Samariang. Setelah itu idea mewujudkan Heroine muncul. Pada 2008, Heroine dianggotai oleh Adif, Coki, El, Emon sehingga ke hari ini, Coki antara anggota yang masih kekal bersama Heroine.
Dibantu oleh adanya media seperti facebook dan soundcloud lagu-lagu Heroine mula kedengaran yang kemudiannya menarik perhatian penganjur gig di Kuching membuatkan Heroine terus kekal aktif bukan hanya di Kuching tetapi keberadaan yang lain juga turut membantu pergerakan Heroine.
Heroine yang dipengaruhi oleh bunyian band punk rock dari Bolton, Buzzcocks, sudah pun mengeluarkan EP pada 2015 yang bertajuk The Man Was Lying Down yang mengandungi lima buah lagu antaranya adalah Bono Blow dan Two Detectives.
Bercerita mengenai single rilisan terbaru Heroine; Adim mengatakan Bang! diciptakan pada awal kemunculan beliau bersama Heroine. "Coki ajak aku join Heroine, awal tahun 2019. Bang adalah lagu kedua selepas lagu Judas, lagu terawal Heroine 2.0 dan yang paling aku berkenan masa mula-mula dengar, riff guitar nya yang nyaring, kuat, dan durasinya yang singkat. Secara asasnya, struktur lagu kira dah disiapkan awal oleh Coki sebelum aku amik mood untuk buat lirik."
"Part lirik aku siapkan dalam sehari selepas diperam beberapa minggu sebab sibuk nak siapkan lagu atau task pertama iaitu lagu Judas. Idea spontan dari suara azan berkumandang menjadikan Bang! sebuah lagu yang berkisar mengenai hidup di zaman moden yang pesat, namun pegangan agama juga perlu seiring agar nilai moral tidak jatuh. Bang! atau seruan azan sebagai pengingat masuknya waktu untuk solat, maka begitulah niatnya lagu Bang! yang dipilih tajuk sedemikian, hanya sebagai peringatan kita bersama."
Jelas Adim lagi, lagu Bang! adalah yang paling mudah dibuat, sekali jalan, terus rakam di mana proses kreatifnya makan masa dengan argumen dan pertembungan idea. "Kami berharap karya Heroine dapat memberi impak pada pendengar bukan Sahaja dari lagu malah visual nya sekali untuk melengkapkan cerita yang hendak disampaikan, ibarat jiwa yang berupa lah. Bersama Heroine ni, Aku cuba untuk konsisten mengenai jenama dengan design visual yang berkonsep, kemas dan menarik kerana kriteria ini harus ada bagi melengkapkan sebuah karya selain memberi kepuasan juga buat aku sebagai seorang designer."
"Dalam menurut perintah berkurung kerana Covid19 ni, makin ramai pemuzik mengambil peluang untuk berkarya dan buat live show dengan bantuan sosmed, kerana banyak masa lapang. Heroine turut sama melayan waktu PKP ni masing-masing dengan aktiviti sendiri. Ada antara kami yang bekerja sebagai frontliner, jadi nak buat muzik atau aktiviti bersama buat masa ni, tu memang mustahil. Macam aku dan Coki, sepanjang PKP ni kami banyak explore video editing, saja untuk menambah ilmu.
"Masa PKP ni aku tak banyak bermain muzik, cuma banyak explore software baru buat job design, selain layan video rakan muzik di sosmed. Bila tengok sosmed meriah denagn aktiviti bermuzik masa PKP ni, timbul rasa nak create something yang boleh dikongsi bersama yang berupa lagu bervisual. Video muzik ringkas Bang! pun terjadi hasil dari pertapaan PKP ini." Tambah Adim.
Comments
Post a Comment