BEDROOM POP MENJALAR DI MALAYSIA


Teks: Zhafirin
Foto: Zhafirin, Amirul Yazid 

Kejayaan Billie Eilish di Grammy Awards membuka mata, telinga dan pasaran muzik yang baru dengan genre dan terma Bedroom Pop atau Bedroom Music. Dengan internet menjadi penghubung kepada setiap manusia, sesiapa saja boleh meluahkan apa-saja, sisi pandangan dalam segala hal selain informasi boleh diketahui hanya dalam beberapa saat. Muzik tidak kurangnya mengambil kesempatan yang ada, pelbagai genre muzik yang hadir di industri muzik, kreativiti mereka tidak lagi tersekat dengan lagu-lagu pop yang terhidang di radio dan kaca televisyen. Beberapa tahun kebelakangan ini, pemuzik muda mampu belajar dan menciptakan muzik dengan sendirinya melalui bantuan yang disuapkan internet. Rakaman, muzik video dan berkongsi karya hanya duduk di bilik maka disinilah terciptanya terma Bedroom Music dan ia turut menjalar di Malaysia.

Lupakan saja Billie Ellish, Gus Depperton, Still Woozy, Girl In Red dan Castlebeat. Di Malaysia tidak kurangnya melakukan revolusi muzik dari atas bilik tidur. Pada tahun 2019, Pastel Lite merilis album Pop Bilik Tidur yang memuatkan tujuh buah lagu, kesemua lagu tersebut hadir dari bilik tidur, bermula dari idea hinggalah proses rakaman. Penglibatan Pastel Lite sejak 2017, kini bukanlah nama asing dalam ranah muzik di Malaysia. 

Foto: Amirul Yazid

Tidak kurangnya penggemar karya Amirul Yazid, menghasilkan lagu-lagu dari bilik  tidur seterusnya dimuatnaik ke platform digital kemudiannya dikongsi ke pasaran yang lebih besar. “Bagi aku, Bedroom Pop atau Bedroom music ini ada keseronokan yang tersendiri. Dari segi akses, musisi boleh melakukan segala hal dengan sendiri. Seolah dah dijadikan budaya sebab ia mudah. Sudah tentu, kualiti akan berbeza dengan rakaman studio profesional tapi secara personal aku kagum dengan musisi menghasilkan rakaman di bilik tidur. Halangan? Mungkin ada tapi setiap trek atau demo kau dah siap sepenuhnya, kau akan berasa puas dan seronok. Apatah lagi apabila pendengar menikmati karya-karya yang kau hasilkan.” Kata Amirul Yazid yang turut mengagumi karya-karya tempatan yang dihasilkan di bilik tidur antaranya MiM, Sanggarliris, Wp.Shh dan Mad&Rissa.


Bagi Zara Kayangan, pelantun suara lagu ‘Spoken’ duetnya bersama Viona, alter ego Takahara Suiko pula mengatakan Bedroom Pop menunjukkan muzik pop itu sendiri berevolusi dan tidak terikat pada satu rentak sahaja. “Sejujurnya, saya sendiri juga menggemari genre Bedroom Pop. Bagi saya, Bedroom Pop ialah salah satu sub-unit bagi genre pop, tapi digabungkan dengan sedikit elemen lo-fi atau "chill". Beberapa contoh bagi artis atau kumpulan yang bergenre Bedroom Pop adalah seperti Pastel Lite, Clairo dan Cuco. Tema Bedroom Pop lebih berkonsepkan kepada lirik yang mendalam atau bermakna dan bersifat "oversharing". Sebagai contoh, lagu saya berjudul ‘Spoken’ berkisahkan tentang saya yang memendam perasaan terhadap seorang lelaki yang saya kira sebagai "crush" saya. Disebabkan saya jenis yang agak tidak berani untuk meluahkan kata-kata, maka saya hasilkan "Spoken" sebagai luahan hati saya kepada lelaki tersebut. Tambahan pula, lelaki tersebut juga bermain muzik dalam sebuah band pop punk, jadi, saya merasakan muzik adalah jambatan yang menyambung antara saya dan juga lelaki terbabit. Lirik yang ditulis oleh Viona sendiri dikira sangat mendalam dan banyak berkias untuk sebuah topik yang ringkas sebegini.” Jelas Zara Kayangan.

“Saya merasakan bahawa genre pop bukannya mati di kalangan para pendengar. Malahan, bagi saya, genre pop telah berevolusi dan tidak hanya terikat dengan satu rentak sahaja. Kejayaan Billie Eilish juga seolah membuka ruang kepada para pemuzik bergenre pop di luar sana bahawa mereka boleh berjaya walaupun hanya membuat muzik dalam studio bilik tidur mereka sendiri. Berkenaan dengan tema pula, tema bagi genre pop turut berevolusi. Pada zaman sekarang, lirik lagu bagi genre pop bukan sahaja terikat pada lirik yang "catchy" dan "easy-listening". Lirik yang membawa maksud mendalam dan memberikan mesej juga telah disuntik dalam genre pop. Semua itu menunjukkan bahawa genre pop semakin matang dan masih relevan hingga sekarang.”

Comments