TAHVOLE RILIS SINGLE J & W, DIALOG TENTANG ANALOGI PENJAJAHAN BENTUK BAHARU



Foto/Teks: Tahvole


Tahvole adalah sebuah kugiran dari Jasin, Melaka yang baru saja merilis single bertajuk J&W untuk menandai eksistensi karya-karya mereka. Tahvole terdiri daripada Hafidz Adam, vokal, kekunci, dan segala jenis kebisingan, Hamizal Razali, kekunci, mesin drum, dan segala jenis kebisingan yang lain, Shamsul Hisyam, bass dan selain jenis kebisingan.

Selepas rilisan single pertama ‘Likes Komoditi’ pada 31 Ogos 2018, J & W secara rasminya diriliskan pada 15 Disember 2019. Ia merupakan lagu kedua yang siap sepenuhnya dari rilisan fizikal EP atau album yang bakal rilis sekitar Mac 2020. Berdurasi kurang dari 4 minit, proses penghasilannya agak memakan masa berikutan pemilihan alatan rakaman dan lain-lain hal sepanjang proses pembangunan yang  dijalani. J & W menandakan penataraan format penulisan lagu berbanding lagu-lagu sebelumnya yang lebih cenderung kepada Post-Punk ala pertembungan album terawal New Order dengan kugiran semi elektronika Denmark; Liima tetapi dengan sentuhan penulisan lagu yang lebih minimal. Rakaman berlangsung di Penvia, Petaling Jaya selama lebih kurang sebulan hingga proses pasca rakaman. Setakat ini, Tahvole masih dalam proses rakaman untuk trek-trek lain. 



Sebelum bermulanya Tahvole, Hafidz pernah menyatakan kegusarannya apabila mereka sepakat
meninggalkan gitar dan menumpukan perkakasan muzik elektronika. Beliau runsing tentang Tahvole
menjadi hanya sekadar kugiran yang berbunyi sama dengan kugiran elektronika barat yang kita semua biasa. Mungkin dari situ mereka agak berhati-hati dalam setiap hasilan. Memandangkan Tahvole merupakan kolaborasi muzikal, dimana mereka yang rata-rata mempunyai latar belakang gitar, sayang jika sensasi bersama kugiran sebelum ini diperbazir dan gagal diterjemah. Dengan berbekal indikator yang mereka persetujui, mereka mendapatkan pandangan dari kawan-kawan rapat. Harapannya ialah walau tidak dapat perbezaan ketara, secebis pun cukuplah.

Selalunya lagu ditempa dalam bilik latihan dan akan dibiarkan berminggu-minggu. Setiap lagu diberi laluan untuk persembahan secara langsung sehingga benar-benar puas hati pada struktur lagu tersebut. "J & W juga menjalani laluan yang sama cuma setakat yang kami perasan telah berlaku dua kali dalam pemilihan nada progresi format asalnya ialah F major sebelum kekal di E minor seperti yang kalian boleh dengar hari ini. Mungkin banyak juga hal teknikal tentang progresi chord, jadi semoga kita ada peluang untuk berbincang tentang ini lain kali jika ada masa." 

Berkenaan lirik J & W, Hafidz menjadikan dialog antara dua orang yang berbual tentang analogi penjajahan bentuk baharu dan respon kepada masyarakat yang sibuk mencari maksud sesuatu sehingga hilang keterujaan pada alam sekeliling sebagai jalan cerita. Ia bukanlah sesuatu yang sangat penting, tetapi mampu jadi kompenen dalam tiap-tiap kepentingan.  Nama trek J & W adalah akronim kepada dua orang watak bayangan dalam lirik tersebut.

Sebelum dirakam, satu verse sempat dibuang dan digunakan sebagai solo. Kebanyakan lagu adalah seperti J & W yang mengamalkan antisolo sebagai solo. Secara keseluruhannya, Tahvole cuba memainkan peranan sebagai kugiran yang tidak mempunyai banyak sumber, mereka berusaha menggunakan apa-yang-ada sahaja untuk bikin muzik tanpa terlalu banyak songeh. Mungkin ini boleh dijadikan asbab untuk adik-adik terutamanya di luar bandar-bandar besar untuk mula berkugiran tanpa perlu terlalu banyak fikir.

J & W boleh didengarkan di platform digital seperti Spotify, Apple Music dan Deezer selain  mengikuti perkembangan kugiran elektronika Jasin ini di media sosial.






Comments