TENTANG AWAL PENUBUHAN BRAIN DEAD DAN SEKILAS INFO



Penulis: Wan Nasha Khairul Ikhwan


Jika kita menyingkap kembali kegilaan dan kehebatan kumpulan-kumpulan awal death metal ditanah air,nama Brain Dead adalah salah satu nama besar dalam dunia Death Metal di Malaysia. Brain Dead adalah kumpulan Death/Thrash Metal terawal dari Perak selepas kumpulan Black Metal dari Perak, Vulga yang ditubuhkan pada tahun 1985. Pada tahun 1987 di Taiping, kegilaan terhadap muzik Thrash Metal tidak dapat dibendung lagi lantas Brain Dead ditubuhkan di Taiping pada 31 Ogos 1988. Dianggotai oleh Ein dan Malik, mereka berdua adalah orang yang bertanggungjawab dalam penubuhan Brain Dead. 

Disebabkan hanya mereka berdua sahaja didalam Brain Dead, Ein kemudian mengajak Hashim untuk menyertai Brain Dead. Hashim dan Ein adalah rakan sekelas di zaman persekolahan mereka. Kemudian muncul Shahharin yang sebelum ini bermain dengan sebuah kumpulan Heavy Metal dan kumpulan ini datangnya dari daerah yang sama, Taiping. Oleh itu lengkaplah Brain Dead, dimana anggota asal Brain Dead adalah Ein Possessor (Abdul Rahim Zakaria) gitaris/vokalis, Malik Mutilation sebagai pemain gitar, Hashim Pestilence sebagai pemain bass dan Shahharin sebagai Drummer. Nama Brain Dead telah digunakan dan nama ini datangnya dari salah satu tajuk lagu dari kumpulan Thrash Metal terkenal Exodus. Pada awal penubuhan Brain Dead, mereka banyak membawakan lagu-lagu dari kumpulan Metallica ketika jamming. Selepas itu mereka mula membawakan lagu-lagu cover dari Venom, Slayer, Sodom, Possessed, Sepultura, Slaughter, Sarcofago dan banyak lagi kumpulan death/thrash metal yang sedang hangat ketika itu. 

Pada awal tahun 1989, Gig pertama buat Brain Dead adalah pada pada 4 mac 1989 di Taiping sebagai band undangan untuk sebuah band rock/heavy metal tempatan yang mempunyai nama besar iaitu M.A.Y.  Inilah pengalaman pertama mereka bermain gig tambahan pula dihadapan lebih 1300 orang penonton. Pada waktu itu mereka membawakan lagu-lagu dari Metallica. Selepas gig pertama itu sebagai band undangan dan pembukaan, Brain Dead mula mendapat banyak undangan dan tawaran untuk membuat persembahan sejak gig pertama mereka.

Gig yang kedua juga pada tahun 1989 di Galactica Roller, di Kuala Lumpur yang kerap menganjurkan konsert Thrash Metal. Kali ini mereka diberi peluang beraksi bersama SlapDeath (band dari Kelantan), Rator (Death Metal dari Selangor) dan Bacteria (kini dikenali sebagai Silenth Death dari Kuala Lumpur). Permulaan tahun 1990, Brain Dead telah mula menulis lirik-lirik mereka sendiri. Lagu-lagu awal yang ditulis oleh Brain Dead ialah 'Eternal war' 'Satanism' dan 'On Your Grave'. Mereka adalah satu kumpulan grind/Brutal Death Metal yang agresif, banyak dipengaruhi oleh Morbit Angel, Bolt Thrower, Terrorizer dan banyak lagi. Mereka mula mencuba untuk membuat demo mereka sendiri, tetapi disebabkan masalah studio seperti kurang memberi kerjasama dan tidak sukakan muzik sebegini maka usaha mereka terbantut begitu sahaja. Mereka meneruskan jamming setelah gagal untuk menghasilkan demo. Akhirnya dipenghujung tahun 90, atau lebih tepat pada 23 disember, Brain Dead merakamkan demo pertama mereka bertajuk 'Eternal War' yang dirakamkan di Camy Studio, Taiping. Demo ini mengandungi tiga lagu iaitu Eternal War, Satanism dan On Your Grave. Lirik mereka ketika itu berkonsepkan Gore, Death dan Satanism. Demo ini menjadi saingan kepada band underground tempatan lain di waktu itu seperti Sil Khannas (sekarang Sil Khannaz), Sufforcation (sekarang Suffercation), Senseless Death (sekarang Senseless), Silenth Death, Hijrah (sekarang Pilgrims) dan Necrofist (sekarang Nebiras) yang mengeluarkan demo pada tahun yang sama, 1990. 

Bermula dari demo inilah Brain Dead mula mengeluarkan demo mereka di skena underground tempatan dan luar negara. Walaubagaimanapun demo ini kurang memuaskan dari segi bunyian tetapi melalui demo inilah mereka mula mendapat tempat dan terus aktif. Pada tahun 90'an juga, Ein menubuhkan band projek bernama Sacramantor (Heloisa). Tetapi disebabkan masalah tertentu seperti tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya pada kumpulan itu, ianya terus senyap tanpa sebarang material. Demo Eternal War mula diedarkan pada tahun 1991. Pada tahun itu, mereka mula bermain gig disana sini. Mereka juga pernah bermain gig di funfair bersama satu lagi kumpulan underground veteran dari Perak iaitu Necrotic Chaos. Mereka juga pernah beraksi bersama Silent Death, Necrofist,Picagari dan Sufforcation di satu gig di Paradise Club, Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, Brain Dead dipelawa sebagai band undangan dalam satu persembahan bertajuk 'Super Thailand Festival' di Taiping pada 4 Oktober 1991. Sebenarnya pada hari itu, Brain Dead adalah band jemputan untuk artis pop tempatan iaitu Norsheila Amin tetapi atas sebab tertentu penyanyi pop itu tidak dapat menghadirkan diri. Oleh itu, Brain Dead mengambil alih persembahan itu sepenuhnya dan reaksi penonton ketika itu cukup gila dengan persembahan Brain Dead.



Brain Dead merakamkan dua lagu 'live' dari 'Super Thailand Festival' iaitu 'Eternal War dan Satanism'. Kemudian mereka merakam tiga lagi lagu iaitu 'On Your Grave' dan dua lagu baru 'Repulse to Destruct' 'Devourment of Gore' di Camy Studio pada disember 1991. Akhirnya kelima-lima lagu ini dijadikan demo kedua mereka yang bertajul 'Live demo'. Kesemuanya dirakamkan pada tahun 1991 dan demo kedua ini dikeluarkan pada Januari 1992. Pada tahun yang sama, Brain dead mendapat tawaran dari syarikat rakaman tempatan, Noize Record untuk menghasilkan album. Noize Record bertindak menandatangani kontrak dengan band underground tempatan lain sperti Sil Khannaz, Suffrecation dan Silent Death. Tetapi sebelum ditawarkan membuat album, Noize Record merancang untuk mengeluarkan satu album kompilasi Death Metal terlebih dahulu. Album kompilasi ini tertangguh dan akhirnya terbengkalai. Pada masa yang sama juga Brain dead mendapat tawaran dari syarikat rakaman dari German tetapi Brain Dead telahpun menandatangani kontrak bersama Noize Record maka tawaran itu terpaksa ditolak. 

Pada penghujung 1991, pemain dram mereka, Shaharin mengambil keputusan untuk meninggalkan Brain Dead. Mereka mengambil keputusan mengekalkan Brain Dead sebagai kumpulan trio, Brain Dead masih lagi dianggotai oleh tiga figura asal cuma kali ini Ein Possesser bertukar posisi dari bermain gitar kepada bass/vokal, Malik Mutilation masih lagi posisi gitar dan Hashim Pestilence dari bass bertukar posisi untuk bermain dram. 

Dengan line-up ini Brain Dead menyambung kembali aktiviti mereka. Bersama figura sedia ada, Brain Dead membuang sentuhan muzik Grind Core dalam muzik mereka. Brain Dead bukan lagi band Grind Death Metal tetapi haluan baru mereka Black/Dark Death Metal. Pada tahun 1992 juga, Sonis Asylum Record berminat untuk mengikat kontrak dengan Brain Dead tetapi ianya tidak berhasil apabila Silent Death mengeluarkan album pertama mereka pada pertengahan 1992 dibawah naungan Dark Journey Record, pada masa yang sama juga label ini mencari lagi band tempatan yang berpotensi untuk diketengahkan. Label ini mendengar demo mereka dan ianya telah membuahkan minat dan seterusnya Dark Journey Record menawarkan kontrak kepada mereka. Pada lewat 1992 Brain Dead mengikat kontrak secara rasmi dengan Dark Journey Record. Label ini merupakan label yang mengeluarkan album-album underground sahaja. Brain Dead menjadi artis kedua Dark Journey Record dan mengikat kotrak selama dua tahun dan dalam perancangan akan masuk studio pada awal bulan Januari 1993 serta dijadualkan mengeluarkan album itu pada awal tahun 1994. Bernaung dibawah Dark Journey Record, Brain Dead diberi peluang beraksi bersama Silent Death pada ketika Silent Death sedang giat mempromosi album pertama mereka. 

Pada 20 november 1993 bertempat di Perak, Silent Death dan Brain Dead beraksi bersama dibawah naungan Dark Journey Record.

Gig ini dirakamkan dan dijual melalui Dark Journey Record. Didalam video tersebut, terdapat interviu khas bersama Silent Death dan Brain Dead oleh Oz yusuf, bekas gitaris Assault, band lagenda Thrash Metal dari Kuala Lumpur lewat 80'an. Pada masa kini, Oz yusuf merupakan penerbit album-album underground di Malaysia dan Singapura. Video ini di buat secara profesional dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Pada masa yang sama Ein possessor menubuhkan kembali kumpulan Sacramantor dengan menggunakan nama Narraka yang berkonsepkan Black Metal, tetapi disebabkan Ein terpaksa memberi komitmen dan perhatian yang lebih terhadap Brain Dead maka Narraka senyap seketika tetapi masih lagi aktif.

Comments