Teks: Zhafirin
Foto: Instagram Francis Wolf dan Nizang
Francis Wolf dan Nizang, aku berjumpa kedua-dua figura penting ini ketika berlangsungnya Pesta Genta di Rumah Seni Selangor pada Ogos lalu. Francis Wolf bercerita tentang Kelunding, buku Social Carbon Copy; sebuah jurnal band pop-punk, Spunky Funggy pada tahun 2000 hingga 2002 di Australia dan Thailand sementara Nizang, yang aktif bersama Dum Dum Tak pula bercerita mengenai pengaruh sosial media dan scene underground pada 90an.
Dalam prakata buku Social Carbon Copy, Nizang mengimbas kembali ketika dijemput oleh Francis Wolf untuk beraksi di Punk Picnic yang diadakan di Port Dickson. "Aku lupa sebab apa aku menolak pelawaan tersebut, tapi rasanya masing-masing sibuk masa tu sebab ahli-ahli baru sambung belajar di IPT dan berjauhan."
Tidak lama kemudian, Spunky Funggy dan JellyBelly terlibat dalam satu kompilasi yang dinamakan 'Little Jerk'.
(FRANCIS WOLF)
Spunky Funggy merilis demo pertama mereka pada tahun 1996 yang bertajuk The Green Demo kemudiannya album pertama Spunky Fuggy, Smile For The Revolution dirilis pada tahun 1999 dan diedarkan oleh Positive Tone pada tahun 2000. Pada tahun 2000, Spunky Funggy yang sepatutnya tour di Australia, telah dibatalkan kerana mereka tidak dibenarkan masuk ke Australia. Mengambil petikan dari buku Social Carbon Copy "Bile kami sampai di Australia, kami tidak dibenarkan masuk. Ini kerana dari dressing kitorang dan setelah check luggage (kitorang bawak cd band lokal dan zine lokal serta t-shirt tour) pihak imigresen berkeputusan yang kami bukan pelancong dan terus menghantar kami pulang."
Buku Social Carbon Copy pada mulanya ditulis dua jurnal yang berasingan, sebuah untuk tour di Thailand dan sebuah lagi untuk tour di Australia yang tidak menjadi tetapi untuk versi terkini, Francis Wolf menggabungkan kedua-dua jurnal tersebut.
"Kalau kau baca Social Carbon Copy, ia sebuah jurnal ketika aku aktif bersama band pop-punk, Spunky Funggy. Versi asal yang dicetak pada 2002 memang telah diedit disebabkan kawan-kawan di scene Thai berfikir ia akan merosakkan imej scene mereka jadi aku remove yang tak berapa manis. Bukan apa, kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.
kadang-kalanya ia lebih sekadar jurnal, memang power bila masa muda mengingatkan kita kenapa dan mengapa."
Ketika diajukan soalan maksud Kelunding, Francis Wolf menjawab "Tak selamanya technology adalah teknologi. Kita perlu mencari bahasa kita sendiri. Kelunding adalah dari 'keluhan' dan 'dinding' bahasa harus berubah mengikut keadaan semasa, kata Francis Wolf. "Aku ciptakan sendiri samada ia akan diguna pakai atau tidak suatu masa kelak, aku tak nak ambil tahu tentang itu. Pihak berwajib pun tak ambil tahu benda ni sepertimana aku menciptakannya.
Kelunding adalah hal yang menarik, misalnya ia terasa begitu jujur. Ia bukan puisi 100 patah perkataan, ia cuma 10-15 patah perkataan tapi ia jujur. Jika dikaitkan dengan status di sosial media, ia sangat berlainan. Sosial media untuk orang yang ada masa, Kelunding untuk orang yg tidak ada masa, pendek, jujur dan tepat. Berbeza bukan?"
"Sosial media untuk kemarahan, kelunding, errr misalnya, aku lapar. Kelaparan yang real, bro. Kau boleh tulis kat dinding kau cintakan awek kau. Sangat menarik dan kerana itu aku tertarik dengan Kelunding dan aku sentiasa cuba mencari dan mengambil gambar khususnya sekitar lembah klang pada waktu malam dan aku suka bayang-bayang pada ketika waktu malam.
Sekarang aku sedang mencari sesuatu yang baru atau lain dari sebelumnya, misalnya Kelunding di flat dimana method dorang lain, hanya guna pen atau pensil." Tambah Francis Wolf.
(NIZANG)
Sosial media di kaca mata Nizang pula, ada diantara kita berkongsi artikel yang masih tidak tahu kebenarannya, ataupun ucapan yang panjang berjela tetapi kita hanya ambil sedikit saja dan kemudiannya dikongsi di sosial media. "Benda sebegitu lari dari konteks dan orang mula salah anggap." Kata Nizang. "Sepatutnya siasat dulu kebenarannya, jangan hanya baca dari sebelah pihak, sepatutnya baca dari sumber kedua-dua belah pihak."
Menurut Nizang, sekarang zaman sosial media dimana semuanya menjadi sangat pantas, semua ada whatsapp untuk berkongsi. "Ada juga cerita-cerita yang boleh dijadikan contoh yang baik misalnya bangsa A membantu bangsa B. Cerita-cerita positif begini sentiasa ada tapi orang tak angkat pula cerita-cerita sebegini. Sebenarnya benda positif macam ni memang ada, benda-benda macam ni patut lebih dikongsi."
Sosial media dan platform digital juga memainkan peranan untuk band masa sekarang, zine juga berkembang kerana boleh diakses secara online. "Kalau kau ada band, boleh rakam secara langsung kemudian siarkan di Youtube untuk tontonan. Berbeza tahun 90an, band tak banyak, zine banyak tapi interviu band yang sama ditambah pula zine senang nak buat, boleh buat kat rumah je. Sekarang, interviu pun orang gunakan medium seperti facebook. Banyak beza dulu dan sekarang.
Scene 90an dulu, band memang tak banyak, gig pun tak banyak macam sekarang, gig pun dalam sebulan sekali atau dua kali. Kat tempat aku, gig takde. Tahun 1999 barulah ada gig tapi jarang, mungkin setahun sekali atau dua kali setahun. Dulu lain, budak-budak metal, punk main gig yang sama. Sekarang jangan cakap la, kat KL je ada banyak, situ gig punk, sana pun gig punk. Terlalu berpecah tapi tak boleh nak elak sebab memang terlalu ramai orang, gig pun banyak, band luar pun banyak datang.
Sekarang ada punk, indie, metal dan sebagainya, nampak je macam berpecah tapi itu biasa, adat sebegitu kerana scene sememangnya harus berkembang dan kita harus meraikan perbezaan." Jelas Nizang.
Mengenai album Dum Dum Tak 'Dinoda' yang dirilis pada tahun ini, Nizang berpendapat dalam album ini boleh dengar bunyi dan melodi yang lebih catchy tetapi lirik masih tidak lari daripada politik sosial selain dalam album ini juga turut memuatkan lagu mengenai isu percabulan terhadap kanak-kanak dan perempuan selain isu perkauman yang terjadi. Tambah Nizang "Proses kreatif ni susah sikit nak cakap sebab kebanyakkan lagu dibuat oleh Fael. Dari segi lirikal, banyak lagi bertemakan politik. Sebenarnya, ada lagu yang kita cuba lari dari isu politik, rasanya banyak je band punk yang menyanyi lagu berunsurkan personal tetapi awal kemunculan Dum Dum Tak, kitorang banyak lagu bertemakan politik lepastu dijemput pada acara-acara politik dan orang mula label kitorang main political punk. Kitorang dah macam terbawa-bawa dan kelamaan kitorang fikir nak buat lagu seperti sekarang yang terdapat dalam album 'dinoda' dimana album ini turut boleh didapatkan melalui Facebook Nervhous Records."
Comments
Post a Comment