TEKS: Zhafirin/Tajrin Faruqi
FOTO: Tajrin Faruqi/ Instagram Makmalbedahsiasat4idkstudio
Berkarya untuk mengisi masa lapang dan mencari rezeki tambahan buat keluarga di studio yang dinamakan Makmal Bedah Siasat 4idkstudio, Tajrin Faruqi menamakan semua hasil karya dan siasatan beliau sebagai ‘Bukti Sia-siart?’ Tajrin Faruqi pernah mengeluarkan buku yang bertajuk Jurnal Hidup dan Mati, sebuah koleksi random dari beliau yang juga pernah aktif bersama kugiran Matematik satu ketika dahulu.
“saya sengaja letakkan tanda soal selepas ‘siart?’ kerana saya sendiri tidak tahu apakah karya atau hasil siasatan saya sia-sia atau tidak.” Kata Tajrin Faruqi, seorang artis, penjaga kucing dan kura-kura yang juga mempunyai akaun instagram sendiri – rumahbinatanghalimunan. “Umur saya…rahsia. Hahaha! Oh ya, saya ada degree Law and Commerce dari MSU.”
BEDAH SIASAT MERDEKAKAH KITA?
“Merdekakah Kita adalah sebuah karya konseptual instalasi yang saya hasilkan untuk persembahan berkumpulan Shift di Black Box, Publika awal bulan ini. Saya jadikan karya Merdekakah Kita sebagai bahan bedah siasat kerana saya suka mempersoal dan menyiasat sesuatu benda, lagipun banyak benda yang saya tidak tahu sebenarnya.
Jadi, dalam membedah dan menyiasat, saya juga mempelajari sesuatu. Menyiasat dan membedah akan akan membantu saya mengetahui sesuatu perkara yang saya tidak tahu. Jika ianya (karya) dapat dipersembahkan pada orang ramai, mungkin saya juga dapat membantu orang ramai menyiasat, membedah atau mempelajari sesuatu yang baru (atau benda yang kita atau mereka pura-pura tahu)"
KARYA YANG MERDEKA
“Karya yang merdeka? Saya tidak tahu sebenarnya definisi atau jawapan yang tepat dan disebabkan ketidakpastian, ketidakjelasan dan kekaburan ini, ianya melahirkan kelopongan untuk saya menyiasat, membedah dan berkarya, yang mana dalam masa yang sama saya berkarya untuk mengetahui jawapan dan persoalan yang sebenarnya saya tidak tahu. Sebab itu, bagi saya, menyiasat adalah sama (aktiviti) dengan berkarya.”
“Malah, bagi saya, makna ‘karya seni’ juga tidak berapa jelas apakah makna yang sebenarnya.” Tambah Tajrin Faruqi.
Melalui akaun instagram makmalbedahsiasat4idkstudio, kapsyen “Proses menggambar bahan kajian untuk menyiasat secara santai namun kritikal” dengan foto lakaran kasar yang menerangkan ‘Plastik sampah adalah satu benda penting dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia kontemporari, lebih-lebih lagi plastik sampah berwarna hitam. Apakah penggunaan plastik sampah berwarna hitam ini memudahkan kehidupan seharian kita? Apakah ini mitos ataupun fakta yang nyata?
Manusia gemar untuk melepaskan nafsu mereka dengan menggunakan plastik hitam bagi membuang pelbagai benda atau sampah yang tidak lagi mereka ingini.’
Ia membawa kepada soalan konsep ‘santai namun kritikal’ melalui plastik sampah dan kaitannya dengan Merdekakah Kita? “Seperti saya katakan tadi, saya tidak tahu makna sebenar merdeka.” Jelas Tajrin Faruqi. “Tindakan ini tampak seperti pengiraan matematik yang mudah, santai dan ringan tetapi ianya mungkin tidak boleh lari dari elemen berat dan kritikal. Saya rasa ianya (plastik sampah) penting dalam kehidupan seharian. Ia relevan dan ‘real’. Tidak kira peringkat umur, agama dan kaum, semua orang tahu akan plastik sampah. Jadi ianya satu cabaran buat saya untuk menjadikan plastik sampah sebagai sebuah karya, apatah lagi sebuah karya ‘seni’.
MELANGGAR TANPA MALU
“Saya juga seperti (ketidaktahuan dan fahaman mengenai seni konseptual) anda dan kebanyakan yang lain. Kita sama. Sebab itu saya melakukan apa yang saya lakukan sekarang.” Jawab Tajrin Faruqi mengenai disiplin seni, budaya pop dan seni konseptual. “Saya tidak mahu berpura-pura tahu dan berlagak pandai untuk menerangkan sebab saya juga masih meraba-raba untuk mengetahuinya.”
“Apa yang saya tahu mungkin melanggar tanpa malu. Mungkin. Mungkin jika kita tidak berani melanggar, kita mungkin tidak akan tahu sampai bila-bila. Takkan kita hanya mahu menjadi lembu yang dicucuk hidungnya, bukan?”
Comments
Post a Comment