Kuching hujan lebat, kopi atas meja, kucing tidur di dapur dan mak menyiapkan roti dan kuih muih untuk minum petang. Jadi kebiasaan mak akan mendengar lagu-lagu 60an atau tahun sebelumnya untuk dijadikan teman di dapur. Saya tertarik dengan lirik-liriknya yang mudah tetapi kita boleh merasai kehadirannya seolah-olah lirik-lirik tersebut keluar ke luar rumah menari dalam hujan sambil bergelak ketawa. Pernah beberapa kali saya bertanyakan tentang tajuk lagu atau nama disebalik suara tetapi pertanyaan saya tidak dilayan. Pertanyaan dan pendapat saya di rumah ini tidak penting selepas saya menjual album The Beatles (1) tanpa pengetahuan mak. Mujurlah mak tidak pernah mendoakan akan ada neraka khas untuk anak yang menjual koleksi album dan kaset milik mak.
Berbeza dari hari sebelumnya, petang ini hanya ada bunyian titisan hujan dan sesekali mendengar keluhan penat dari mak. Ingat, apa-apa pendapat saya di dalam rumah ini tidak penting maka saya cuma mendiamkan diri walaupun hakikatnya boleh saja bantu mak. Saya buat perkara paling saya handal; bermalasan sambil mengetik like foto hijabster di instagram, mendengar lagu-lagu di youtube yang bersesuaian dengan cuaca sekarang dan mood mak. Lagu-lagu yang berkumandang mula mengambil tempat segenap dapur sehinggalah mak memandang saya dengan sepasang mata yang misterius, Lagu yang tidak diketahui tajuk dan penyanyinya menarik perhatian mak. Lirik-liriknya begitu mudah dihadam, tidak ada tentang hujan, kopi, mahupun sore meremang. Fon yang sedikit jauh dari keberadaan, saya mendapatkan ia untuk mengetahui siapakah yang mencuri petang saya dan mak yang sedang menyiapkan roti dan kuih.
NONARIA!
Terpapar di skrin nama Nonaria-Nonaria Full Album. Saat itu, lagu track ke-4, Sayur Labu berkumandang. Liriknya menarik seperti sebuah resipi dan rahsia kebahagiaan wanita. Mak masih menyiapkan roti dan kuih dan saya nampak mak begitu senang dengan kehadiran Nonaria. Sayur Labu membuatkan kita terasa lapar diwaktu hujan yang semakin lebat merahmati Kuching. Tamat Sayur Labu, Sebusur pelangi mengambil alih petang itu bersatu dengan hujan di Kuching.
(Menurut Wikipedia, ini adalah foto ketika Dara Puspita mengadakan tour di Sarawak. Bulak nya, bulaklah kamek)
Saya tertanya-tanya tentang siapakah figura wanita yang super-kool entah datang dari mana mencuri petang saya dan mak. Saya cuba untuk tidak memetik nama Dara Puspita tapi saya gagal. Nonaria mengingatkan kita pada Dara Puspita, sebuah band dari Surabaya yang aktif sekitar 60an. Berbalik pada Nonaria, Nonaria pada awalnya dianggotai Nesia, Nanin dan Rieke sebelum posisi Rieke digantikan oleh Yasintha yang juga berperanan bermain biola. Pengaruh besar disebalik muzik mereka adalah Ismail Marzuki, Bing Slamet dan ada beberapa pemuzik Indonesia yang lain. Nonaria (Nonaria) adalah album perdana dan pertama buat Nonaria yang memuatkan 8 buah lagu ekawarna dan lirik-liriknya yang menarik, mudah dan ringan tanpa perlu menulis tentang senja untuk kelihatan deep. Sukar untuk tidak menyukai mana-mana lagu dalam album ini kerana album ini adalah tentang pesta, kita perlu merayakan keseluruhan album ini. Saya terbuai dengan lagu Hari Bahagia sehingga saya sedar saya kehabisan rokok dan mak sudahpun menghidangkan roti, kuih dan teh O. Tamat mendengar full-album Nonaria, semoga ada respon dari tempat kerja kerana saya dah bosan menganggur dan perlukan duit untuk membeli album/ep yang sedap dan berhenti membuat dosa mendengar full album di youtube.
Comments
Post a Comment