CERPEN: SEBUAH KAMAR BERNAMA S - KARYA AK KELANA





Tiada siapa tahu kenapa ruang ini dibangunkan begitu sempit sekali. Atau memang sudah begitu ya, tuan? Ruang ini selalu diselubungi resah dan ketidaktenteraman. Ketika M mula berpindah ke kota dewasa, cuma kamar ini pilihan tunggal tersedia untuknya. Pada awalnya cuma sebuah bilik bacaan penuh dengan buku-buku teratur di rak dan debu bercakaran merebut permukaan yang paling terdedah. Kemudian menjadi medan perang, taman bunga, benua, padang rumput dan Bima Sakti kembara kecil dunia imaginasinya.
            Bilik ini memang terlalu kecil untuk seorang lelaki sepertinya bernafas. Apalagi untuk merangkul tubuh seorang isteri di dalam kamar ini. Terlalu sempit untuk sekadar memenuhkannya dengan rungutan. Kerana itu, M tak pernah mengeluh.
            Tetapi kadang M khuatir juga. Apa hidup hanya untuk berkurung di dalam sebuah kamar? Tidak! Hidup memerlukan wang dan wang memerlukan dia untuk hidup agar dapat meraihnya. Hari demi hari kota raksasa ini menelannya. Menggigit sedikit demi sedikit ruang kamarnya dan dia seperti tergigit hidupnya sendiri.
            M beralih ke suatu rak buku. Debu-debu berlari-lari dan berloncatan buas di sekitarnya. Debu-debu itu mengejeknya kembali diam di atas buku-buku tersusun. Sejak hari itu, tiada lagi anak-anak nakal mengetuk pintu untuk meminjam sebuah dua buku cerita atau sekurang-kurangnya jadi teman berjenaka. Kadang anak-anak itu memintanya membacakan syair kerana suaranya yang lunak dan mereka kemudian bermain-main saja di dalam kamar itu. Tetapi sekurang-kurangnya dia bersyukur begitu. Bahawa masih terdapat sesetengah orang menghargai kewujudan kamar kecil ini.
            Dia melihat tombol pintu dan teringatkan suatu hari ketika I mendatangi kamarnya. Malah Penguasa juga pernah memulas tombol pintu itu. Teringatlah olehnya, bahawa Sang Penguasa lah yang mengurniakannya kamar ini yang mula dipandang seperti sebuah istana tetapi lama kelamaan kamar ini seakan mengecil dengan sendiri sehingga dia berasa terlalu sempit di sini.
          Tentang I, lelaki itu pernah datang ke kamarnya dengan buku-buku yang tidak disukainya. Yang dibencinya.
            “Kau suka buku, aku suka buku. Aku menyantuninya sebagaimana kau. Aku mengucupnya dan mengucapkan terima kasihku kepadanya, sebagaimana kau,” kata I sambil memenyet puntung rokok ke dalam bekas habuk.
            Dia mengambil sebatang lagi rokok dan menyalakannya kemudian menyambung selepas hembusan pertama, ”Lalu apa bezanya kita? Kita seibu, bahkan sebapa!”
            “Tetapi kau lain!”
            “Apa lainnya aku, kalau begitu?”
M tidak tahu ingin membalas apa. Lidahnya tersimpul sebentar. Fikirannya berlari-lari mencari jawapan, suatu balasan yang jitu untuk mengatup rapat mulut I.
            “Kau indie! Aku mainstream!” M membalas keras.
            “Ah! Sialan siapa yang mewujudkan dinding dikotomi ini walhal kita tiada lain selain sesama sendiri. Kau gila?”
            “Aku tidak!”
            “Ikut aku ke luar dari terperosok saja dalam kamar ini. Kita santuni masyarakat di celahan bangunan, di pinggir jalan, pengemis yang cuma makan beberapa hari sekali itupun dari tong sampah. Gelandangan yang dipijak-hina, siapa membawa suara mereka kalau segalanya cuma terlalu ideal dalam kamarmu? Apa dunia cuma sebuah kamar? Kau tak perlu jawab ini, kau sendiri tahu jawapannya bukan? Terlalu ramai di luar sana menulis puisi palsu. Apa benar hari ini wujud lagi penyair seperti JM Aziz yang jujur dengan puisinya? Dan rakanku dari Jakarta bertanya, di Malaysia ini tiada Wiji Thukul kah? Kau tahu aku jawab apa, M?”
            M sekadar menggeleng.
            “Kau pun tahu. Tiada! Kita sudah lewat beberapa tahun di belakang negara-negara lain dalam kesusasteraan dan khalayak pembaca semakin mengecil. Sastera semakin mengecil. Segala yang kau tulis cuma berlegar dalam ruang kecil ini, M. Kau fikir ada menteri yang membaca karyamu? Puisimu tentang kesengsaraan? Kau, cuma berada di dalam kamar, terperosok dengan buku. Menulis sajak-sajak palsumu. Menulis cerpen-cerpen dengan jalinan gaya lama. Gaza, Palestin, Yaman, Syria? Lalu bagaimana dengan krisis di negaramu sendiri, M? Apa kau cakap? Buku kami guna bahasa lucah saja? Tanpa mesej? Kau fikir perkataan bodoh wujud untuk apa?”
            M tidak puas hati. Dia segera memintas penyataan kasar I itu.
            “Kau tak tahu, itu cara kami. Dan kau dengan cara kau, I. Ah. Kita tidak sehaluan sebenarnya?”
            I membeku sebentar. Seperti kehilangan kata-kata. M juga diam membiarkan rokok di tangannya habis tanpa diendahkan. Dia menyalakan sebatang rokok baru kemudian bermain-main dengan asap, enak sekali. Ketika asap berubah bentuk menjadi bulatan kecil kemudian mengembang besar, dilihatnya bayang I sudah tiada. Hidupnya seakan aman kembali. Dia mencapai gelas kopi di atas meja dan meminumnya sebelum dia terbatuk-batuk kuat.
            “Bastard.
            Ketika didekatkan pandangannya ke muka kopi itu, terlihatlah berbelas ekor semut berenang seperti ikan. Semut-semut hitam itu sangat sukar dilihatnya kecuali secara dekat. Sepasang kakinya bergilir-gilir pantas sehinggalah dia sampai ke tingkap untuk membuang kopi itu.
            Dilihatnya I berada di sebalik bangunan. I duduk bersila seperti seorang sami bermeditasi sebelum berubah menjadi sejuta ekor semut. Semut-semut itu mengerumuni setiap manusia yang berjalan, berlari, duduk, mati, hidup. Semut-semut itu ada di mana-mana sebelum terdengar teriakan serentak manusia sehingga menggegarkan matanya di dalam kamar itu. Selepas teriakan mega itu, semut-semut tadi berjalan deras kemudian berkumpul setempat menjelma sebagai I. Lelaki itu senyum kepadanya dan dia diam-diam membalas senyuman itu.

            Di luar hari semakin gelap. Bulan tiba-tiba berdiri, menjelma sekuntum mawar. Berguguran kelopak-kelopak cahaya ke bahu. Akhirnya dia keluar dari kamar itu, untuk kali pertama.

Comments