Aku fikir dia saja bergurau dan aku kata okey paling tidak kita boleh dapatkan grab atau uber. Teksi tak relevan tengah malam melainkan tiada pilihan lain. Tiada siapa yang cukup gila mahu berjalan kaki dari TAPAK-KLCC ke Ampang. Kita? dia tanya. Aku angguk. kita, katanya, akan berjalan kaki dari sini ke Ampang, kau boleh dapatkan grab atau uber dari sana pulang ke rumah. Aku gelak kecil dengan ideanya. Aku cukup mengenalinya, sudah hampir 5 tahun aku mengenalinya, dia bukanlah jenis yang boleh berjalan jauh, bercuaca panas, menunggu terlalu lama. Itu bukan dirinya. Aku cukup faham tapi malam ini sungguh berbeza.
Dia habiskan minumannya dan aku seperti dipukau menurut bontot gadis cantik-egois yang mahu meraikan kegilaannya.
Dalam beberapa langkah, aku memandang matanya dan aku kata kita patut ambil grab atau uber, aku bayar, jangan risau aku ada duit untuk itu. Dia geleng kepala. Kami terus melangkah bergerak dan sempat dia bertanyakan kenapa seharian aku tidak menghisap rokok?
aku jawab aku puasa rokok harini.
Pelik. Katanya. Dia ketawa. Ya, aku juga berasa sesuatu yang janggal hari ini, aku tidak hisap rokok. Inilah benda paling gila aku cuba buat, berhenti hisap rokok dengan natural bukannya menjadi lelaki lemah menagih simpati minta RT untuk menghentikan ketagihan nikotin. Aku boleh anggap ini kejayaan besar. Ia piala kehidupan.
Tuhan, kenapa malam ini penuh dengan keanehan? adakah ini petanda permintaan aku untuk meninggalkan dunia yang sakit tenat menuju nirvana, kau makbulkan?
Persetankan segalanya, siapa aku untuk menidakkan berjalan berdua dengan gadis berkacamata, putih, cantik dan egois pada tengahmalam? aku harus raikan ini. Anggap saja ini malam terakhirku di dunia. Selepas ini mungkin aku akan melihat gadis ini dari langit. Dalam kegelisahan dengan persoalan wujud dalam kepala, aku jerit rock n'roll dalam hati. Inilah malam yang aku dan kau simpan sampai bila-bila.
Kami masih tidak berganjak jauh. Seolah dalam mode slow-mo. Dia memandang langit malam, terdengar suara kecil gadis tersebut-malam ini malam yang panjang.
Aku jawab ya dengan nada perlahan. Kami memandang satu sama lain dan aku okey dengan kegilaan ini.
Comments
Post a Comment